Henti jual barang berlabel 'tanpa minyak sawit' - API

Advokasi Perusahaan dan Industri gesa peniaga pasar raya dan peruncit hentikan jualan barangan berlabel 'tanpa minyak sawit' atau bakal berdepan tindakan undang-undang. Gambar kecil: Fazli
Advokasi Perusahaan dan Industri gesa peniaga pasar raya dan peruncit hentikan jualan barangan berlabel 'tanpa minyak sawit' atau bakal berdepan tindakan undang-undang. Gambar kecil: Fazli
A
A
A

SHAH ALAM - Advokasi Perusahaan dan Industri (API) menggesa peniaga pasar raya dan peruncit menghentikan jualan barangan berlabel 'tanpa minyak sawit' atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Pengarah Urusan API, Datuk Fazli Nordin berkata, jika gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Katanya, peraturan baharu di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) melarang penggunaan label diskriminasi terhadap minyak sawit.

Menurut Fazli, adalah salah sama sekali untuk jenama mengelirukan orang ramai dengan maklumat palsu tentang minyak sawit, atau menipu ‘tiada perakuan minyak sawit’ pada produk.

"Amalan pelabelan anti-sawit yang mengelirukan bukan sahaja membahayakan pengguna tetapi juga menghalang persaingan yang adil dan melemahkan intipati ekonomi pasaran bebas.

"Kami amat percaya pada kuasa pilihan pengguna dan bertujuan untuk melindungi hak mereka untuk mengakses maklumat produk yang tepat dan tanpa diskriminasi," jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, beberapa langkah pematuhan global kini sedang dijalankan untuk meningkatkan kecekapan dan kemampanan pengeluaran minyak sawit sekali gus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

"Dalam perkembangan terkini, pembuat dasar United Kingdom (UK) telah menyatakan komitmen penting untuk mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Artikel Berkaitan:

"Pengiktirafan ini berperanan dalam memastikan kemampanan komoditi memasuki negara. Kini di Malaysia, terdapat lebih 96 peratus kawasan tanaman kelapa sawit telah mendapat pensijilan MSPO," ujarnya.

Fazli berpendapat, penanaman kelapa sawit menyediakan pendapatan dan mata pencarian kepada berjuta-juta petani berskala kecil, menyokong komuniti tempatan serta menyumbang secara signifikan kepada ekonomi luar bandar.

"Selain itu, penyelidikan menunjukkan bahawa minyak sawit terbukti sebagai tanaman yang paling cekap kerana benih minyak lain memerlukan empat hingga 10 kali lebih banyak tanah untuk tumbuh.

"Sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit, Malaysia telah komited untuk mengurangkan kesan alam sekitar dan melindungi hutan dan hidupan liar yang terancam oleh penebangan hutan," katanya.