CEC setuju lantik wakil BN sebagai ahli Exco Pulau Pinang

Sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) bersetuju untuk melantik seorang ahli Exco daripada UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia adalah keputusan sebulat suara CEC sebagai tanda untuk mengangkat semangat Kerajaan Perpaduan.

"Memandangkan DAP menerajui negeri ini (Pulau Pinang) melalui Ketua Menteri, Chow Kon Yeow jadi CEC telah bersetuju untuk melantik seorang ahli EXCO dari parti UMNO bagi mewakili BN.

"Ini kerana ada dua calon BN yang menang di Pulau Pinang dan ia merupakan keputusan sebulat suara yang telah pun dicapai oleh CEC sekaligus akan menterjemahkan semangat perpaduan di Pulau Pinang," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) di sini pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, dua calon BN yang bertanding di Pulau Pinang telah memenangi kerusi di DUN masing-masing iaitu DUN Bertam, Reezal Merican Naina Merican dengan jumlah undian 10,453 mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dengan majoriti 2,321.

Seterusnya, calon BN di DUN Sungai Acheh, Rashidi Zinol (BN-Umno) dengan undian sebanyak 9,556 menewaskan lawannya daripada PN, Zulkifli Ibrahim dengan majoriti 124.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan, partinya akan menghantar nama calon membabitkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar masing-masing untuk dilantik sebagai ahli mesyuarat kerajaan negeri.

Jelasnya, calon tersebut akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti berkenaan sebelum diserahkan kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Anthony turut merakamkan setijggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi Pakatan Harapan (PH) terutamanya 46 daripada 47 calon daripada DAP yang telah menangi kerusi di DUN masing-masing.

Ujarnya, semua wakil rakyat yang menang diingatkan supaya sentiasa menjaga nama baik DAP dan sentiasa berdedikasi sewaktu berkhidmat kepada orang ramai.

"Tahniah kepada semua pemenang dan diingatkan supaya untuk menjaga nama baik parti. Imej positif perlu sentiasa dijaga dan kerja yang terbaik perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat serta negeri," tegas Anthony.