Elak kontroversi, penganjur tukar nama konsert

No Image Caption
A
A
A

BAGI menjernihkan persepsi masyarakat dan menghormati semua pihak, pihak penganjur Konsert Goyang Asia Koplo Milenia mengambil keputusan untuk membuat penjenamaan semula kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.

Menurut penganjur, Riezman Khuzaimi dari Mission Sight, pemilihan nama konsert sebelum ini telah mencetus kontroversi dan mendapat kritikan daripada mereka yang sentiasa memiliki persepsi negatif terhadap irama dangdut.

“Pihak kami sedar bahawa apabila disebut dangdut koplo sudah pasti ia akan mendapat reaksi dan persepsi negatif dari masyarakat setempat, tambahan lagi muzik koplo jika di Indonesia diiringi tarian agak seksi.

“Oleh demikian, dalam memartabatkan muzik dangdut di Malaysia, maka kami tampil dengan persembahan yang berbeza untuk menonjolkan seni di dalam muzik itu sendiri tanpa elemen negatif dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Tambahan lagi, ini merupakan konsert dangdut berskala besar yang pertama kali berlangsung di Malaysia dan sudah tentu pihaknya mahu meninggalkan kenangan serta menjadi penanda aras terbaik.

Justeru bagi menarik lebih ramai penonton, pihak penganjur memperkenalkan tiket harga rahmah dengan membuat pengurangan harga sebanyak 50% bersempena dengan Merdeka Promo.

“Kami hanya menjual irama dan lagu bukan unsur-unsur negatif seperti tarian dan gelek lucah seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Pengurangan harga ini juga adalah kerana penganjur bercadang untuk mengadakan konsert malam kedua dan sekiranya ia terlaksana kemungkinan artis seperti Baby Shima dan beberapa artis lain berpeluang menyertai,” jelasnya yang masih merancang konsert pada malam kedua dengan persembahan yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

Konsert yang bakal berlangsung pada 30 September ini di Stadium Malawati Shah Alam menampilkan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina bersama Ani Maiyuni beraksi sepentas dengan penyanyi Indonesia, Siti badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena.

Selain menggabungkan artis dangdut popular dari Indonesia dan Malaysia, konsert ini juga bakal dimeriahkan lagi dengan Festival Muzik Milenia.

Festival tersebut bakal diadakan di perkarangan stadium MBSA Shah Alam bermula 29 September hingga 01 Oktober 2023, selama tiga hari berturut-turut.

Antara aktiviti yang akan berlangsung sepanjang festival ialah, persembahan daripada artis-artis genre dangdut, ‘Food Fest’ yang disertai oleh vendor-vendor makanan tular dari Malaysia dan Indonesia serta pelbagai lagi acara lain.