Satu sen kalau dikumpul, lama-lama boleh jadi jutawan

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BAGI yang biasa membeli barangan keperluan dapur di pasar raya, Merak Jalanan percaya pasti mereka sedar ada barangan dijual yang tidak diletakkan dengan tanda harga genap.

Misalnya, baru-baru ini Merak Jalanan beli buah epal yang dibungkus dalam plastik dengan harga RM9.99. Kemudian beli biskut dengan RM10.99 setin.

Merak Jalanan pernah belajar subjek bisnes ketika di universiti. Memang itu satu strategi penjual untuk menampakkan harganya lebih murah.

Tak kisahlah kalau peniaga nak buat strategi apa-apa pun. Cuma yang menjadi keraguan, apabila membayar di kaunter, harganya akan digenapkan. Epal menjadi RM10 dan setin biskut itu berharga RM11.

Memang sebelum ini Bank Negara menetapkan mekanisme penggenapan harga kepada lima sen terdekat selepas wang syiling satu sen dikeluarkan daripada sistem jual beli di negara ini. Tetapi, taktik peniaga meletakkan tanda harga berbeza dengan harga jualan boleh dianggap menipu pembeli.

Isu ini sebenarnya bukannya baharu dan pernah dibangkitkan beberapa tahun lalu, tetapi terus senyap dan kini semakin berleluasa.

Merak Jalanan bukanlah orang yang layak untuk menjatuhkan hukum bahawa cara itu haram tetapi dari segi logik, cara itu tersasar dari segi akad jual beli.

Kan lebih baik peniaga letak sahaja tanda harga genap, atau jual dengan harga lebih rendah daripada harga di tanda harga tersebut. Contoh, kalau letak tanda harga RM9.99, pulangkan balik lima sen apabila pembeli bayar RM10 di kaunter. Pelanggan puas hati, untung peniaga pun berkat.

Artikel Berkaitan:

Mungkin ada yang berkata, 'Tak perlulah nak fikir sangat, setakat satu sen, apalah sangat'.

Tapi Merak Jalanan tiba-tiba teringat satu ketika dulu heboh kisah seorang pegawai bank yang menjadi jutawan selepas mengambil hanya satu sen daripada akaun-akaun bank orang ramai.