PJBM tuntut kelab layan jurulatih penuh hormat

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

PERSATUAN Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menggesa pasukan dan kelab untuk melayan kesemua jurulatih sama ada tempatan atau luar negara dengan penuh rasa hormat.

Pemangku Presiden, Datuk Ong Kim Swee berkata, susulan laporan mengenai seorang jurulatih dari luar negara yang berdepan masalah, PJBM dengan tegasnya mengutuk sebarang tindakan yang gagal menjaga kebajikan para jurulatih.

“Kami dapat tahu bahawa kebajikan jurulatih dari luar negara yang telah mencurahkan masa dan kepakaran beliau kepada komuniti bola sepak negara tidak dijaga oleh majikannya sebelum ini.

“Walaupun kami tahu setiap situasi mungkin berbeza, namun kami mahu menegaskan bahawa kebajikan jurulatih, sama ada tempatan atau dari luar negara mesti dilayan dengan penuh hormat dan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya.

Kim Swee berkata, PJBM percaya jurulatih memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan bola sepak Malaysia dengan menyumbangkan pengetahuan dan pengalaman mereka kepada landskap sukan popular negara itu.

Beliau menambah, dedikasi dan semangat jurulatih wajar dibalas dengan komitmen penjagaan kesejahteraan mereka, termasuk imbuhan yang adil, kehidupan yang sesuai dan sokongan keseluruhan.

“PJBM komited memperjuangkan kebajikan jurulatih dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam komuniti bola sepak. Ia bagi memastikan pengabaian seperti yang berlaku itu dapat ditangani dengan segera dan berkesan.

“Kami menggalakkan ketelusan, dialog terbuka dan akauntabiliti dalam semua perkara yang berkaitan dengan kebajikan jurulatih,” ujar ketua jurulatih Sabah FC itu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Kim Swee berkata, PJBM menjemput semua ahli persatuan bola sepak untuk menyertai mereka dalam memperjuangkan kebajikan jurulatih, tanpa mengira dari mana mereka berasal.

Media tempatan pada Khamis melaporkan seorang jurulatih import dalam saingan Liga Super dipercayai bekas pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt, hidup dalam keadaan tersepit di sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun Bernhardt pada Sabtu mengakui tidak berdepan sebarang masalah selepas timbul laporan bahawa beliau bermalam di sebuah stor.