Tiada perarakan, himpunan haram, pasca PRN terkawal - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada perarakan atau himpunan haram dianjur mana-mana pihak susulan keputusan pilihan raya negeri (PRN) membabitkan enam negeri, pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pujian harus diberi kepada penyokong-penyokong parti politik kerana sehingga hari ini (Ahad) tiada kejadian buruk berlaku.

"Kali ini tiada perarakan, mereka (parti politik) ini berjiwa besar dan berlapang dada dengan keputusan yang diumum oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Sukarelawan Polis (PVR), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat sepanjang proses PRN berjalan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Razarudin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada bakal menteri besar dan ketua menteri yang dilantik untuk mentadbir di negeri masing-masing.

Pada Sabtu, Razarudin memaklumkan sekatan jalan raya (SJR) menerusi Op Kawal Nusa dilaksanakan di seluruh negara bermula jam 12 tengah malam.

Polis bersiap siaga bagi mencegah jenayah dan menentukan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin.

Untuk info, keputusan PRN pada Sabtu di enam negeri menunjukkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Sementara gabungan parti politik Perikatan Nasional (PN) kekal di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!