Keputusan PRU15 pengaruhi pengundian pada PRN - Pemerhati

Pengundi-pengundi bagi DUN N28 Kota tetap hadir bagi menunaikan tanggungjawab mengundi biarpun dalam keadaan hujan di Sekolah Menengah Agama Hj Mohd Yatim, Rembau pada Sabtu.
Pengundi-pengundi bagi DUN N28 Kota tetap hadir bagi menunaikan tanggungjawab mengundi biarpun dalam keadaan hujan di Sekolah Menengah Agama Hj Mohd Yatim, Rembau pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas dilihat telah memberi kesan dan mempengaruhi corak pola pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri semalam, kata Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

"Saya rasa ada pencapaian tertentu yang berjaya dicapai oleh kerjasama antara PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional), namun ada juga kawasan yang kita jangka dengan kerjasama ini dapat menang lebih besar, tetapi ia tidak pula berlaku,” katanya ketika menjadi tetamu pada Program ‘PR6N: #AndaPenentu’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata, kerjasama yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selepas PRU15 itu dilihat masih belum memberi impak secara langsung kepada pengundi di negeri-negeri Pantai Timur, untuk memilih mereka.

Katanya, penentu kepada kemenangan sesebuah parti adalah golongan muda, namun berdasarkan trend pengundian di enam negeri semalam sokongan golongan itu dilihat masih tidak menentu, berubah-ubah dalam membuat keputusan pihak mana yang hendak disokong.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Azwan Abd Rahman berkata BN-PH perlu melihat kembali kaedah berkempen, terutama di negeri-negeri di Pantai Timur.

Beliau berkata, golongan muda di negeri berkenaan secara umumnya melihat BN-PH lebih banyak membawa isu-isu nasional, dan kurang mengetengahkan isu-isu setempat.

"Kalau lihat isu-isu yang dibawa adalah bersifat nasional dan kabur daripada isu setempat. Perkara itu menenggelamkan minat dan kepentingan anak muda di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Mereka tidak nampak apa BN-PH tawarkan kepada mereka (dalam manifesto), kerana ia lebih kepada isu nasional,” katanya.

Beliau berkata, apapun kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu menghormati keputusan rakyat dan bekerjasama dalam membantu mereka agar negara lebih maju. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!