Ustaz Zamri Mantop fokus pembangunan fasiliti, sosioekonomi rakyat

Dr Mohd Zamri
Dr Mohd Zamri
A
A
A

KUALA SELANGOR - Calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin mahu memberi tumpuan kepada pembangunan fasiliti dan sosioekonomi rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Sabtu.

Mohd Zamri atau dikenali sebagai Ustaz Zamri Mantop menzahirkan syukur kepada ALLAH selepas memperoleh kemenangan meskipun kempennya tidak semeriah calon lain.

Menurut Mohd Zamri, beliau pernah tewas kepada Barisan Nasional (BN) di DUN sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

"Saya kalah lebih 2,000 undi namun kerusi Parlimen dimenangi PN pada PRU15 lalu dan kemenangan saya ini dibantu dengan bantuan media sosial," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Sehubungan itu, katanya, dia berterima kasih kepada jentera Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membantu kemenangannya sejak awal kempen.

"Fokus kita mahu menang Selangor dan saya hendak fokus membangunkan jati diri serta sosioekonomi rakyat terutama di DUN Sungai Burong.

"Tekad saya juga mahu meneruskan apa yang diperjuangkan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dalam mengutamakan kebajikan rakyat selama ini," ujar Mohd Zamri.

Mohd Zamri memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 6,842 undi menewaskan calon BN Mohamad Khir Ramli.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zamri mendapat 15,447 undi mengalahkan Mohamad Khir yang memperoleh 8,605 undi.

Bilik Gerakan PN meriah raikan kemenangan anak Noh Omar

Sementara itu suasana di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) DUN Permatang di sini meriah meraikan kemenangan calon mereka, Nurul Syazwani Noh dalam PRN Selangor.

Rata-rata penyokong meluahkan rasa gembira dan menyanyikan lagu 'ALLAH selamatkan kamu' dan melaungkan takbir.

Kejayaan Nurul turut diraikan suaminya, Hisham Hedzril Nor Hashim dan ibunya, Puan Sri Dr Aishah Salleh.

Nurul Syazwani memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 1,728 undi selepas mendapat undi 12,850 manakala Mohd Yahya memperoleh 11,122 undi.

Kemenangan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya DUN Permatang, Tirmidzy Che Mat di Institut Pengurusan Peladang, Sungai Kajang Tanjong Karang di sini pada Sabtu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).

Rozana memperoleh 9,208 undi menewaskan Sulaiman yang mendapat 8,050 undi dan Muhammad Jafaruddin meraih 2,746 undi.