Terowong PN Kampung Hujung Bandar meriahkan PRN

Terowong yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Hujung Bandar, Sik dengan mencecah kos RM3,000 hasil sumbangan orang ramai itu berjaya menarik perhatian pengguna di laluan berkenaan.
Terowong yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Hujung Bandar, Sik dengan mencecah kos RM3,000 hasil sumbangan orang ramai itu berjaya menarik perhatian pengguna di laluan berkenaan.
A
A
A

SIK - Kemeriahan tempoh berkempen tidak kurang 24 jam lagi akan berakhir dimeriahkan dengan pelbagai inisiatif dan kreativiti pengundi bagi menyemarakkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah Sabtu ini.

Tidak kurang hebatnya, penduduk Kampung Hujung Bandar di sini menyiapkan sebuah terowong dihiasi kira-kira 300 meter bendera Perikatan Nasional (PN) menggunakan 100 batang buluh.

Penduduk, Mansor Ibrahim, 42, berkata, terowong yang terletak di laluan dari arah Kampung Batu Lapan ke Kampung Chepir itu membabitkan kos mencecah RM3,000 hasil sumbangan penduduk.

"Kami menggunakan buluh untuk membuat rangka yang disokong dengan besi bagi mengukuhkan binaan dan memastikan aspek keselamatan terjamin," katanya.

Abangnya, Yusof, 53, berkata, terowong yang dihasilkan kira-kira 20 anak muda kampung itu siap sebelum penamaan calon 29 Julai lalu.

"Ia bertujuan menunjukkan semangat penyokong terhadap PN dan memeriahkan PRN kali ini...pada waktu malam ada cahaya lampu menyebabkan kampung ini menjadi tarikan,"katanya.

Penduduk kampung, Rokiah Zainudin, 54, berkata, dengan adanya terowong berkenaan menyebabkan orang ramai termasuk dari luar daerah datang ke sini untuk merakamkan gambar kenangan.

"Rumah saya paling hampir, malam-malam kami jual burger dan minuman, Alhamdulillah seronok," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang pengguna merakamkan gambar ketika melalui kawasan berkenaan.
Salah seorang pengguna merakamkan gambar ketika melalui kawasan berkenaan.

Sementara itu, Azizan Ishak, 47, berkata, kesungguhan penduduk kampung menyiapkan terowong bersempena PRN adalah bagi memberi semangat kepada calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri N24, iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang merupakan penyandang kerusi berkenaan.

"Ia dihasilkan tanpa menggunakan duit parti, guna duit sendiri kami kumpul sama-sama," katanya.

Pada PRN kali ini, Muhammad Sanusi (Pas) bakal berentap satu lawan satu bagi kerusi N24 dengan calon Barisan Nasional, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim (UMNO).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 2,455 setelah memperoleh 10,626 undi menewaskan penyandangnya, Mahadzir Abdul Hamid (UMNO) dengan undi diperolehi sebanyak 8,171 manakala Mohd Nazri Abu Hassan (PKR) dengan undi diperolehi 4,146.

DUN Jeneri mempunyai kira-kira 35,079 pengundi dengan lebih 90 peratus daripadanya adalah Melayu.