Beri fokus isu setempat - Muhamad Amri

Muhamad Amri Wahab
Muhamad Amri Wahab
A
A
A

Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga berhasrat memberi fokus untuk menyelesaikan masalah masyarakat setempat dan membawa pembaharuan di kawasan ditandingi.

Ikuti temubual wartawan NURUL HIDAYAH HAMID bersama Muhamad Amri Wahab yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pokok Sena.

SINAR HARIAN: Sebagai calon baharu, apakah pendekatan tuan bagi mendekati pengundi muda dan atas pagar di kawasan DUN Derga?

MUHAMAD AMRI: Meskipun saya calon baharu berbanding calon lain yang dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) dan Bebas di DUN Derga, bagaimanapun saya mengaplikasikan pengalaman saya sebagai Ahli Majlis Sukan Negeri Kedah dan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi mendekati masyarakat melalui aktiviti dalam komuniti, kemasyarakatan dan kesukanan.

Malah, saya telah lama bersama golongan muda melalui aktiviti sukan mahupun santai, pada masa sama mendekati, memahami masalah dan keinginan mereka. Bagi pengundi atas pagar pula, pihak kami cuba memberi keyakinan terhadap mereka melalui perancangan projek masa depan kerajaan PN selaras dengan pucuk pimpinan seperti perancangan ekonomi, peluang pekerjaan sehinggalah kerjasama antara kaum.

SINAR HARIAN: Adakah tuan yakin mampu meraih sokongan pengundi DUN Derga?

MUHAMAD AMRI: Saya berkeyakinan mampu meraih sokongan penduduk DUN Derga sekali gus menarik minat semua kaum untuk memilih PN sebagai wakil bagi DUN Derga yang merupakan kawasan separa bandar terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya kaum Cina, India dan lain-lain yang menjadi keutamaan saya walaupun pengundi Melayu memiliki majoriti 63 peratus.

SINAR HARIAN: Tuan merupakan antara calon muda dipertaruhkan PN, adakah faktor usia muda akan menjadi halangan atau kelebihan kepada tuan pada PRN kali ini?

Artikel Berkaitan:

MUHAMAD AMRI: Boleh dikatakan, saya yang berusia 40 tahun antara calon muda dipertaruhkan PN di Kedah. Bagaimanapun, usia bukanlah penghalang memandangkan saya mudah didekati masyarakat pelbagai peringkat umur. Lagipun, yang penting kesungguhan dan keinginan untuk berbakti kepada penduduk DUN Derga dan paling utama membawa suara untuk kesejahteraan semua penduduk.

SINAR HARIAN: Apakah janji dan perancangan tuan di kawasan yang ditandingi?

MUHAMAD AMRI: Saya berasal dari kampung sekali gus memahami kesusahan dan kepayahan dilalui golongan yang tidak berkemampuan. Selepas diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN Derga, saya mendapati ada beberapa masalah setempat DUN Derga seperti isu Majlis Ketua Kampung, isu perparitan, kebersihan persekitaran dan setinggan yang perlu diberi perhatian dan keutamaan.

Jadi, isu komuniti setempat ini antara isu ingin cuba diselesaikan saya. Selain itu, saya akan sentiasa mengenal pasti keperluan dan kehendak penduduk di DUN Derga sekiranya dipilih menjadi ADUN Derga pada PRN Kedah kerana masyarakat di kawasan ini berbilang kaum dan latarbelakang, maka tentulah masalah juga berbeza.

SINAR HARIAN: Adakah gelombang perubahan rakyat akan berlaku di DUN Derga pada PRN kali ini?

MUHAMAD AMRI: Ya, melalui dapatan saya apabila saya turun bersama masyarakat, saya amat yakin akan ada gelombang rakyat pada hari bersejarah 12 Ogos nanti. Hal ini disebabkan pengundi ketika ini bijak-bijak menilai isu-isu semasa dibangkitkan sekali gus inginkan pembaharuan kepimpinan di kawasan DUN Derga.

Sehubungan itu, kemenangan PN di DUN Derga amat signifikan, apatah lagi DUN Derga dikatakan kubu kuat DAP. Bagi saya, kemenangan PN di DUN Derga akan menterjemahkan bahawa pengundi di Derga sebenarnya mahukan perubahan.