Jadikan kereta sebagai 'gerai', Wak jual nasi campur murah

Orang ramai beratur membeli nasi dan lauk daripada peniaga nasi campur 'Wak'. - Foto: Bernama
Orang ramai beratur membeli nasi dan lauk daripada peniaga nasi campur 'Wak'. - Foto: Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Di kala segelintir individu masih merungut susah untuk mencari rezeki pada zaman ini, berbeza dengan pendirian warga emas, Mohamad Sharif, 75, yang tetap bersemangat berniaga nasi campur untuk pelanggan setianya.

Lebih istimewa, Mohamad atau lebih mesra dipanggil ‘Wak’ menjadikan kereta Proton Gen 2 miliknya sebagai ‘gerai’ untuk menjual nasi campur yang diparkirnya berdekatan dengan Wisma Consplant 1, Jalan Kemajuan Subang dekat sini, sejak sembilan tahun lepas.

Beliau menawarkan 24 jenis lauk antaranya seperti sambal ikan, pajeri nanas, ayam masak lemak cili api dan asam pedas yang disusun dengan teratur dan memenuhi setiap segenap ruang kereta tersebut, sama ada di tempat duduk belakang dan depan, but serta atas bonet kereta.

Tidak hairanlah dengan harga yang dijual murah dan sedap, jualan nasi campur Mohamad laku keras apabila tidak sampai dua jam bermula jam 11.30 pagi, ia sudah habis terjual.

Ketika ditemui Bernama baru-baru ini, Mohamad berkata, beliau mula berniaga nasi campur dalam kereta Proton Gen 2 itu setelah tempat asal beliau berniaga di dalam bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling (PDT Petaling) telah berpindah ke Subang Bestari pada 2014.

"Wak mula mahir memasak dari 1967 lagi ketika berada di rumah bujang selepas berhijrah ke Kuala Lumpur dari Muar, Johor. Kemudian, selepas berkahwin, banyak tahun berniaga di sekolah sebelum berpindah ke PDT Petaling.

"Namun, disebabkan PDT Petaling mahu dipindahkan ke bangunan baharu, Wak tidak sanggup untuk berniaga di tempat baharu itu kerana lokasinya yang jauh kira-kira 20 kilometer dari bangunan asal.

"Jadi, bermula dari itu, Wak berniaga sarapan pagi kemudian sehinggalah berniaga seperti sekarang,” katanya yang turut mengambil tempahan makanan bagi majlis berskala kecil.

Sebelum ini tular video di media sosial apabila memaparkan Mohamad menjual nasi campur di dalam kereta Proton Gen 2 pada usia lanjut hingga menarik perhatian ramai netizen yang memuji usaha beliau menjual pada harga yang jauh lebih murah.

Artikel Berkaitan:

Mohamad yang telah kematian isteri kira-kira lima tahun lepas berkata, beliau melakukan semua tugasan untuk menyediakan lauk-pauk yang dijual itu dengan sendiri termasuk membeli barangan basah di pasar raya.

Ditanya berkenaan harga nasi campur yang dijual lebih murah berbanding harga yang sepatutnya, Mohamad berkata, beliau tetap bersyukur dan berpuas hati dengan keuntungan yang diperoleh walaupun sedikit.

"Meskipun penat berniaga, tapi hati Wak cukup senang dapat melihat keceriaan wajah orang yang membelinya.

"Walaupun untung bersih tidak besar hanya dalam RM500, tapi jumlah itu sudah cukup untuk kehidupan seharian Wak,” ujarnya yang tinggal di Taman Medan.

Kongsi rahsia amalan kekal sihat

Berkongsi rahsia amalan kekal sihat pada usia tua, bapa kepada empat anak dan sembilan cucu itu berkata beliau konsisten membaca al-Quran dan berjalan dua kilometer selepas solat subuh setiap hari selain turut berpuasa dan solat sunat.

Peniaga nasi campur Mohamad Sharif, 75.
Peniaga nasi campur Mohamad Sharif, 75.

"Pada Wak tiada yang lebih baik sesibuk manapun, selepas setiap solat, Wak tak tinggal dan akan ambil masa sedikit untuk baca surah-surah pendek seperti al-Mulk, ar-Rahman dan al-Waqiah.

"Selain itu, dari segi makan pula, Wak lebih suka makan yang berebus, buah-buahan dan minum air kosong secukupnya,” katanya yang bebas daripada penyakit.

Menu banyak pilihan, harga murah

Sementara itu, seorang pelanggan dikenali Adila, 37, berkata, tarikan utama masakan yang dijual Mohamad adalah kerana menu yang banyak pilihan, murah dan sedap.

"Sebagai contoh, dengan nasi campur beserta tomyam, seekor ikan dan udang empat ekor, saya dapat beli dengan RM10, berbanding kalau harga di kedai lain sudah mencecah belasan ringgit,” katanya yang menjadi pembeli tetap sejak 10 tahun lepas.

Antara pelanggan mengambil lauk di kereta. - Foto: Bernama
Antara pelanggan mengambil lauk di kereta. - Foto: Bernama

Dalam pada itu, anak bongsu Mohamad, Muhammad Naim, 38, berkata, beliau dan adik-beradik lain ada menasihati bapanya itu untuk berhenti daripada berniaga kerana usianya yang sudah lanjut.

"Tapi abah (panggilan) suka nak berniaga macam itu untuk seronok, ada juga dicadangkan hanya ambil tempahan yang tak memerlukan masak lebih-lebih, tapi abah tak nak juga kerana risau orang bekerja sekitar pejabat di situ tak dapat makan,” katanya. - Bernama