'Isu penduduk lebih penting berbanding kesalahan ejaan' - Calon PN

Gunalan ketika beramah mesra dengan penduduk sekitar Pandamaran - Foto FB Gunalan Balakrishnan B Gunalan
Gunalan ketika beramah mesra dengan penduduk sekitar Pandamaran - Foto FB Gunalan Balakrishnan B Gunalan
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran, B Gunalan yang disindir calon Pakatan Harapan (PH) kerana kesalahan ejaan pada risalah kempen menganggap isu penduduk di kawasan berkenaan lebih penting berbanding perkara dibangkitkan.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Gunalan berkata, Tony Leong Tuck Chee yang juga bertanding di DUN sama perlu memberi tumpuan kepada isu tempatan sebelum mencari kesalahan orang lain.

"Tony perlu sedar bahawa dia perlu memperbetulkan diri sendiri sebelum mencari kesalahan orang lain, saya ingin mengingatkan dia supaya tumpukan perhatian kepada isu-isu yang dialami oleh penduduk tempatan.

"Sehingga hari ini, walaupun sudah menjadi wakil rakyat di kawasan ini lebih lima tahun, isu banjir, semak samun, kutipan sampah dan juga infrastruktur masih belum diselesaikan.

"Jangan sibuk tengok kesalahan orang, fokus kepada diri kamu dahulu," katanya.

Sebelum ini, Tony menyindir Gunalan dengan memuat naik risalah kempen calon PN itu di media sosial yang dakwanya mempunyai kesalahan ejaan.

Mengulas lanjut, Gunalan yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan, DUN Pandamaran merangkumi kawasan luas dan sering mengalami isu banjir kilat sehingga menyusahkan rakyat selain mengalami kerugian wang ringgit.

Beliau turut mempersoalkan gerak kerja Tony yang dianggap tidak menyelesaikan sebarang masalah dihadapi rakyat di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin bertanya, apa yang telah dilakukan oleh Tony untuk menyelesaikan masalah di sini sehingga longkang dan parit setinggi enam kaki (dipenuhi) semak-samun serta rumput?

"Ini bukan sesuatu baru berlaku, malah sudah berbulan-bulan sehinggakan rumput dan semak begitu tinggi.

"Dengan keadaan longkang yang begitu, ia ternyata akan memberi kesan kepada elemen komersial kawasan tersebut," dakwa beliau.

Gunalan bagaimanapun mengakui, meskipun beliau anak tempatan Klang, namun bertanding atas tiket PN melawan Tony bukan satu persaingan yang mudah.

Ujarnya, beliau menyedari kawasan ditadbir Tony sejak 2018 itu akan menyokong PH kerana sudah dikenali penduduk tempatan.

"Saya sedar dia akan menang dengan majoriti yang sangat besar, mahu pun partinya dikenali ramai penduduk di sini.

"Tetapi, melihatkan keadaan dan taraf kemudahan ini, biarlah pengundi menilai sendiri jika janji mereka dilaksanakan selama ini," jelasnya.