PRN: PDRM kawal lokasi strategik, istana negeri

Razaruddin bercakap pada sidang media khas sempena Hari Mengundi PRN di Bukit Aman pada Khamis. - Foto Bernama
Razaruddin bercakap pada sidang media khas sempena Hari Mengundi PRN di Bukit Aman pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Polis akan memastikan kawalan keselamatan di beberapa lokasi strategik yang berkemungkinan menjadi tumpuan pihak tertentu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara lokasi terbabit adalah istana negeri dan pejabat pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Keselamatan di istana adalah amat penting dan kita tidak mahu berlaku apa-apa gangguan terhadap pihak istana pada tengah malam sebaik keputusan diumumkan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan peralihan kepimpinan sesebuah kerajaan negeri berlangsung dalam keadaan aman berdasarkan perlembagaan," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, pada Khamis.

Razarudin berkata, pelaksanaan penugasan pada PRN di enam negeri ini sudah bermula sejak sebelum penamaan calon, hari penamaan calon dan semasa tempoh berkempen yang dijadualkan berakhir tengah malam esok.

"Apabila dibubarkan sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan enam negeri dalam PRN ini, kita (polis) sudah memulakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

"Seramai 36,492 pegawai dan anggota PDRM sudah bersedia mengawasi perjalanan PRN dengan dibantu Polis Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA)," katanya.

Beliau turut menzahirkan komitmen kepada semua pihak termasuk calon-calon PRN, penyokong dan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut atau dihalang oleh mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah bersedia dan anda boleh keluar mengundi dengan selamat," katanya.

Mengulas mengenai situasi semasa sejak hari penamaan calon pada 29 Julai lalu sehingga 8 Ogos (Selasa) sebanyak 1,524 laporan polis dibuat sepanjang Ops PRN di enam negeri.

Laporan polis tertinggi direkodkan di Selangor dengan 629 jumlah laporan, diikuti Terengganu (289), Kedah (249), Kelantan (213), Negeri Sembilan (111) dan Pulau Pinang (33).

Sebanyak 26 kertas siasatan dibuka di Selangor, diikuti Kedah (23), Pulau Pinang (16), Terengganu (15), Negeri Sembilan (14) dan Kelantan (9).

Sebanyak empat tangkapan direkodkan sepanjang Op PRN dan antara kesalahan yang dikesan adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat dan Seksyen 435 kanun yang sama iaitu khianat dengan api.