Mohon kerajaan beri vaksin influenza percuma kepada warga emas, B40

Gambar hiasan 123rf
Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan digesa memberikan vaksinasi influenza tahunan secara percuma kepada warga emas terutamanya golongan pesara dan B40.

Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG) dan Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, sehingga kini 40 buah negara telah melaksanakan vaksinasi influenza secara percuma kepada warga emas.

Menurutnya, populasi yang terdedah ini lebih berisiko mengalami radang paru-paru sebagai komplikasi influenza dan ini boleh menyebabkan kemasukan ke hospital yang berpanjangan dengan risiko kematian yang tinggi.

"Apabila bilangan warga emas yang menghidap penyakit kronik bertambah, permintaan untuk penjagaan jangka panjang turut meningkat termasuk implikasi kewangan yang signifikan daripada kos penjagaan langsung.

"Oleh itu, perubatan pencegahan seperti vaksinasi, bukan sahaja dapat menjimatkan kos, tetapi juga memainkan peranan utama dalam memelihara kesihatan dan keberdikarian orang dewasa yang lebih tua.

"Kami amat berharap vaksinasi influenza tahunan untuk warga emas secara percuma dapat dimasukkan ke dalam belanjawan 2024," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Sehubungan dengan gesaan tersebut, kedua-dua pertubuhan berkenaan bertindak mengemukakan petisyen yang disokong oleh 18 pertubuhan perubatan dan 11 badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Perikatan Pencegahan Influenza Malaysia (MyAPI).

Katanya, kempen petisyen berkenaan selaras dengan Strategi Influenza Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi tahun 2019-2030, yang menyediakan rangka kerja bagi negara-negara untuk mengambil pendekatan yang holistik kepada influenza melalui program nasional.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif ini selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini yang berhasrat untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat bagi populasi warga emas yang semakin bertambah di negara ini.

"Kami ingin menekankan bahawa akses yang saksama kepada penjagaan kesihatan dan penuaan yang sihat merupakan hak sedia ada bagi warga emas kita. Pada masa ini, lebih 95 peratus warga emas kita tidak diberi vaksin terhadap influenza," kata kenyataan itu.

Rakyat Malaysia dijemput menyokong usaha tersebut bagi merealisasikan vaksinasi influenza tahunan secara percuma kepada warga emas dengan menandatangani petisyen 'Jadikan Vaksinasi Influenza Percuma oleh Kerajaan Satu Realiti untuk Warga Emas Malaysia' menerusi pautan https://chng.it/DXxgWVsj.