Kes saman SM Faisal terhadap Mona Din selesai secara baik

SM Faisal, Mona Din
SM Faisal, Mona Din
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kes saman fitnah ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap aktivis Mona Din, diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Saman itu membabitkan beberapa hantaran berbaur fitnah oleh Mona atau nama sebenarnya Che Muna Din di akaun Facebook miliknya berhubung isu pemenjaraan bekas isteri SM Faisal, Emilia Hanafi.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, mewakili SM Faisal berkata, kes itu berjaya diselesaikan secara baik dan penghakiman persetujuan telah direkodkan oleh mahkamah berdasarkan terma penyelesaian.

"Defendan (Che Muna) akan menarik balik hantaran berkenaan dan memuat naik permohonan maaf di Facebooknya," kata peguam itu ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Azian Othman.

Menurut Akberdin, mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan kes itu yang ditetapkan selama empat hari bermula 14 Ogos ini.

Peguam Muzzammil Merican Hasnal Rezua Merican yang mewakili Che Muna berkata, pihak-pihak mencapai penyelesaian dan anak guamnya tidak akan membuat lagi hantaran berkaitan SM Faisal membabitkan isu berkenaan.

Dalam saman difailkan pada 17 Ogos 2022, SM Faisal selaku plaintif mendakwa defendan memuat naik empat hantaran berbaur fitnah dalam akaun Facebook miliknya, Mona Din antara 29 Jun hingga 20 Julai 2022.

Dakwa plaintif, hantaran-hantaran tersebut antara lain menggambarkan beliau adalah seorang yang kejam, tidak bertimbang rasa dan menyebabkan trauma kepada bekas isterinya selain didakwa menggunakan wang serta pangkatnya untuk memanipulasi sistem keadilan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Che Muna dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 28 Sept 2022, mendakwa hantaran berkenaan merupakan komen adil dan berpatutan kerana isu tersebut berkepentingan awam.

Pada 4 Sept 2019, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia atas kesalahan menghina mahkamah selepas ingkar perintah kerana mengubah tarikh lawatan tiga anak lelakinya untuk bersama bapa mereka, SM Faisal.

Sebelum ini, penyelesaian sama turut dicapai dalam kes saman SM Faisal terhadap Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli selepas penyanyi rap itu membuat permohonan maaf kepada ahli perniagaan berkenaan di mahkamah sama pada 4 Ogos lepas. - Bernama