Hiba lihat rumah pusaka didiami sejak lahir hangus

Rumah Mohd Yasin yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Parit.
Rumah Mohd Yasin yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Parit.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasrat Mohd Yasin Muda, 55, untuk mengundi pada Sabtu ini terpaksa dilupakan apabila kediamannya di Kampung Kubang Parit di sini sejak lebih separuh abad musnah dalam kebakaran.

Kejadian jam 6.50 pagi pada Khamis itu turut memusnahkan kediaman kakak Mohd Yasin, Selamah, 80, yang terletak bersebelahan rumahnya.

Menurut Mohd Yasin, dia bersama ahli keluarganya terselamat apabila mengambil keputusan nekad terjun dari tingkap rumah sebaik menyedari api mula marak.

"Mujurlah semasa kejadian, kakak saya (Selamah) tidak berada di rumah kerana dimasukkan ke dalam wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat sakit. Jadi rumah kakak tidak berpenghuni ketika itu.

"Anak saya yang bangun awal pagi ternampak asap keluar daripada rumah kakak sebelum mengejutkan semua penghuni untuk selamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Mohd Yasin Muda melihat dengan sayu rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Parit.
Mohd Yasin Muda melihat dengan sayu rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Parit.

Mohd Yasin mengakui berasa sedih melihat keadaan rumah yang didiaminya sejak lahir musnah dalam sekelip mata selain mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, dia sekeluarga akan tinggal sementara di inap desa terletak berhampiran buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

"Semua barangan musnah termasuk kad pengenalan dan dokumen penting lain. Memang tidak dapat keluar mengundi pada Sabtu ini namun saya anggap ia sebagai dugaan dan reda segala ujian diterima," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.05 pagi.

Menurutnya, seramai 21 anggota dan tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Operasi memadam kebakaran berjaya ditamatkan pada jam 8.14 pagi.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," jelasnya.