PRN: #ByeBye UMNO bantu pecutan akhir Pas di Kelantan

Wan Roslan menunjukkan pelekat #ByeBye UMNO yang dibuat oleh bekas ahli UMNO di Ketereh.
Wan Roslan menunjukkan pelekat #ByeBye UMNO yang dibuat oleh bekas ahli UMNO di Ketereh.
A
A
A

KOTA BHARU - Gerakan #ByeBye UMNO dilihat membantu pecutan minit-minit akhir Pas untuk kekal kukuh mempertahankan kerajaan itu di Kelantan.

Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, gerakan yang dilakukan oleh bekas ahli-ahli UMNO Ketereh tersebut diketahui dilakukan pada Rabu dan dipercayai susulan hilang percaya mereka terhadap parti veteran tersebut.

Beliau berkata, perkara itu satu perkembangan yang baik kepada Pas sekali gus akan membantu Perikatan Nasional (PN) mencapai sasaran 45-0 pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

“Setakat ini, gelombang bekas ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan parti itu bukan setakat di Ketereh tetapi berlaku di seluruh negeri.

“Mereka beralih sokongan kepada Pas kerana tahu akan kebersamaan, perpaduan dan semangat yang dibawa kerana pernah bersama dalam Muafakat Nasional sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar harian PN sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas negeri Kelantan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor itu berkata, jentera-jentera parti kini fokus bekerja keras sehingga ke saat-saat akhir dalam tempoh berkempen antaranya melakukan solat hajat di kawasan masing-masing.

“Malam ini akan diadakan munajat dan solat hajat di di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa.

“Calon di DUN masing-masing juga melakukan perkara sama bagi memohon kepada Allah supaya mengekalkan kemenangan Pas di negeri ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN nanti, N01 Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan bekas penyandang itu dengan Zulkifli Abdullah (Barisan Nasional).

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!