Penganjur mogok lapar depan penjara belum tampil

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjur kumpulan mogok lapar di pintu masuk Penjara Sungai Buloh, Selangor masih belum tampil setakat Khamis untuk direkod keterangan.

Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penganjur berjanji akan hadir dalam masa terdekat ini.

"Setakat ini penganjur masih belum tampil dan dia (penganjur) berjanji akan hadir dalam satu atau dua hari untuk dirakam keterangan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini 22 keterangan telah dirakam membabitkan peserta mogok, pegawai penjara dan polis.

"Kita telah merakam keterangan 14 peserta himpunan itu termasuk tiga kanak-kanak, selain tiga pegawai penjara dan lima polis," ujarnya.

Kes itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kira-kira 100 ahli keluarga 69 tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) melancarkan mogok lapar di hadapan penjara itu sejak 31 Julai lalu.

Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr Kalai Vanar dilaporkan berkata, bantahan itu bagi menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan undang-undang pencegahan.

Artikel Berkaitan:

Tahanan SOSMA itu melibatkan dua penjara iaitu 34 orang di Penjara Sungai Buloh dan selebihnya di Penjara Alor Setar.

Susulan itu, Timbalan Menteri di Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh telah menegaskan ahli keluarga kepada tahanan SOSMA diminta menamatkan tindakan mogok lapar itu.