Malaysia bangkit perangi rasuah, mulakan dari sekolah

Hamdan Daniel bersama-sama pasukan Bicara Cilik Rasuah Busters SK Bukit, Klang 2023.
Hamdan Daniel bersama-sama pasukan Bicara Cilik Rasuah Busters SK Bukit, Klang 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia bangkit memerangi rasuah perlu bermula dari sekolah rendah, kerana didikan sejak peringkat awal mampu membentuk jati diri mereka untuk bencikan rasuah apabila dewasa kelak.

Pengerusi Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, malah melalui kesedaran awal ini negara akan dapat melihat hasilnya dalam satu dekad kemudian ke arah menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Tegas Hamdan yang juga merupakan Exco Persatuan Tadika Islam Malaysia itu, anak-anak di peringkat bangku sekolah ini bakal menjadi warga kerja yang penuh integriti dalam melunaskan tanggungjawab yang bakal digalas nanti.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya, maka begitu juga usaha kita memerangi rasuah sehingga akar umbi melalui kesedaran awal anak-anak di bangku sekolah rendah.

"Semoga mereka ini kelak menjadi warga negara yang penuh jati diri dan seterusnya menaikkan nama Malaysia sebagai negara yang berdaulat iaitu bebas daripada gejala rasuah," katanya kepada Rasuah Busters baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan hadiah Bicara Cilik kepada Sekolah Kebangsaan Bukit Kuda, Klang pada Jumaat lalu.

Terdahulu, seramai 10 pelajar dinobatkan sebagai pembentang terbaik Program Bicara Cilik Rasuah Busters Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang berlangsung pada Sabtu lalu menerusi atas talian.

Lima murid, Hadif Rayyan Hazri dari SK Bukit Kuda, Klang, Selangor; Nur Haziqah Azhar Hisyam yang mewakili SK Matang Gerdu, Bagan Serai, Perak; Nurul Adriana Safura Mohammad Zairi dari SK Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan; Ahmad Muaz Azurahisham mewakili SK Tanah Puteh, Pahang dan Khyra Dania Khairyna Mohd Hazwan dari SK Permatang Tok Dik, Padang Serai, Kedah dipilih sebagai Pembentang Terbaik Kategori Sekolah Rendah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, lima pelajar iaitu Nurul Najwa Ahmad Jalani dari SMK Maran, Pahang; Muhammad Nor Hafizie Amir SMK (Felda) Seri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan; Nur Juita Batrisyia Mohd Faisal yang mewakili SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang; Nurul Yasmin Irdina Maslizi, pelajar Sekolah Menengah Agama Marang, Terengganu dan Muhammad Ariq Erinoor Enche Guri dari SMK Kampung Nangka, Sibu, Sarawak pula mengungguli kategori Sekolah Menengah.

Justeru Hamdan menggesa semua pihak untuk berganding tenaga dalam merealisasikan matlamat murni berkenaan.

"Ayuh kita berikan sokongan padu dalam usaha memerangi rasuah. Jika tidak dimulakan sekarang bila lagi?

"Waktu tunggu dan lihat seharusnya disusuli dengan langkah drastik untuk Malaysia bangkit memerangi rasuah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!