Pelajar UiTM maut motosikal rempuh MPV

Mangsa disahkan maut di tempat kejadian setelah motosikal ditunggangnya merempuh MPV dalam kejadian kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari pada Rabu.
Mangsa disahkan maut di tempat kejadian setelah motosikal ditunggangnya merempuh MPV dalam kejadian kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari dekat sini pada Rabu.

Mangsa seorang lelaki berumur 21 tahun itu merupakan pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi di UiITM Puncak Perdana.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kejadian diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kira-kira jam 5.50 petang.

"Siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku apabila MPV jenis Toyota Estima tersebut membelok ke kanan dari arah Puncak Alam untuk menuju ke stesen minyak berhampiran.

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X dari arah Shah Alam dipercayai gagal mengelak lalu merempuh MPV tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kejadian di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744," katanya.