PRK: Gerakan tiada masalah jika parti lain tanding di Pulai

Chin Hock - Foto Facebook Dato' Tan Chin Hock
Chin Hock - Foto Facebook Dato' Tan Chin Hock
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Johor tiada halangan untuk memberikan laluan kepada parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas, bertanding di kerusi Parlimen Pulai, 9 September ini.

Naib Pengerusinya, Datuk Tan Chin Hock berkata, walaupun Gerakan bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun pihaknya bersikap terbuka terhadap sebarang keputusan kepimpinan.

Bagaimanapun buat masa ini katanya, pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram masih belum diputuskan.

"Pada PRU15 tahun lalu, Gerakan Johor cuma bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Pulai dan Kulai.

"Tiada masalah laluan diberikan kepada parti lain bertanding pada PRK Pulai, jika itu diminta pucuk pimpinan. Cuma, calon winnable candidate perlu diletakkan bertanding di Pulai," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Berhubung nama calon, Chin Hock menjelaskan, Gerakan Johor telah menyenaraikan tiga nama calon yang akan bertanding pada PRK Parliman Pulai dan DUN Simpang Jeram.

"Pada mesyuarat PN Johor di Pagoh minggu lalu, setiap sayap diminta menghantar tiga nama calon untuk disemak oleh pucuk pimpinan parti.

"Selepas itu, Gerakan Johor mengadakan mesyuarat secara dalam talian memandangkan ramai pimpinan yang terlibat membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Senarai nama akan diserahkan kepada Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal pada mesyuarat PN Johor yang dijangka diadakan pada minggu ini," katanya.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Salahuddin menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional) yang memperoleh 31,726 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong dengan undi sebanyak 20,677.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!