PRN: 200 anak muda DUN Permatang nyata sokongan kepada PN

Azree menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Muhyiddin (tiga dari kiri) selepas Program Ceramah Restart Permatang, Ayuh Bangkit di Tanjong Karang pada malam Selasa.
Azree menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Muhyiddin (tiga dari kiri) selepas Program Ceramah Restart Permatang, Ayuh Bangkit di Tanjong Karang pada malam Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) mendapat kemenangan moral apabila kira-kira 200 anak muda menyatakan sokongan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyokong calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh.

Wakil anak muda, Azree Husin, 36, berkata, semua mereka terdiri daripada penduduk DUN berkenaan termasuk Kampung Bestari Jaya dan Kampung Bukit Belimbing.

Menurut beliau, keputusan menyertai Bersatu dibuat kerana yakin suara generasi belia dapat diperjuangkan Nurul Syazwani bukan saja di DUN Permatang malah di Tanjong Karang.

"Kami mahu suara didengari wakil rakyat terutama melibatkan soal kebajikan dan peluang pekerjaan," katanya ketika ditemui semasa Program Ceramah Restart Permatang, Ayuh Bangkit di Tanjong Karang di sini pada malam Selasa.

Pada program itu, mereka menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas ceramah berkenaan.

Azree menegaskan, golongan muda tidak mahu politik cacamarba, sebaliknya hanya mahu pentadbiran kerajaan negeri lebih stabil.

Mohd Faizal Othman, 41, dari Kampung Bukit Belimbing memberitahu, beliau difahamkan lebih ramai belia mahu menyertai PN di seluruh DUN berkenaan.

Justeru kata beliau, seluruh jentera di kampung itu bertekad mahu membantu kemenangan Nurul Syazwani sekali gus memenangi kerusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami menggunakan pelbagai platform media sosial untuk membantu kempen untuk menarik undi anak muda," ujar beliau.

Sementara itu, Nurul Syazwani yang juga Ketua Srikandi Muda Bersatu Tanjong Karang terharu dengan sokongan berkenaan yang disifatkan sebagai kebangkitan gelombang anak muda.

"Saya jangka lebih ramai anak muda akan memberikan sokongan kepada PN terutama di DUN Permatang ini," jelas beliau.