Subsidi boleh ambil, tapi undi PN - Sanusi

Sanusi ketika berucap di program Mai Sat bersama Menteri Besar Kedah di Gelanggang Sepak Raga Tuju Taman Tunku Yaakob di Alor Setar pada Selasa.
Sanusi ketika berucap di program Mai Sat bersama Menteri Besar Kedah di Gelanggang Sepak Raga Tuju Taman Tunku Yaakob di Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Pesawah diingatkan untuk memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) walaupun kerajaan mengumumkan kenaikan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan bermula Rabu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya duit subsidi itu diambil dan pesawah memberi undi kepada kerajaan PH-BN, ia boleh menjadi rasuah pilihan raya.

"Jadi untuk mengelak menjadi rasuah pilihan raya, undi PN lah, halal duit itu. Sama juga dengan pembelian undi oleh mana-mana calon PH sebab saya dapati ada juga yang berjalan seluk poket bagi duit kat orang.

"Siapa bagi duit kat tuan-tuan, jangan undi dia, undi lawan dia," katanya ketika ditemui selepas ceramah di Program Mai Sat bersama Menteri Besar Kedah di Gelanggang Sepak Raga Tuju Taman Tunku Yaakob di sini pada Selasa.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN bagaimana pun mendakwa, kenaikan subsidi itu tidak wajar diumumkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Saya rasa tak patut la kan, pasal apa kalau tak ada pilihan raya tak boleh buatkah? Buat la di luar pilihan raya. Ni nampak sangat, sudah gaharu cendana pula," katanya.

Sementara itu ketika mengulas mengenai dakwaan BN bahawa sokongan pengundi semakin meningkat kepada PH-BN, Muhammad Sanusi menegaskan ia hanya kenyataan "syok sendiri".

"Tak ada asas, dia seronok sendiri saja. Kita tengok dalam Sinar (Harian) ka surat khabar apa, banyak emoji gelak saja. Janganlah buat benda yang memalukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!