Ahli politik, VIP perlu buat permohonan adakan program di sekolah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KANGAR - Orang kenamaan dan ahli politik yang ingin membuat lawatan atau mengadakan program di mana-mana premis institusi pendidikan perlu membuat permohonan seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Belia & Sukan, Penerangan dan Badan Bukan Kerajaan Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, permohonan kebenaran perlu dibuat menerusi Surat Pekeliling Iktisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 4 Tahun 2023, sekurang-kurangnya 30 hari sebelum lawatan atau program dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datin Marzita Mansor (PN-Sena) berhubung pekeliling dikeluarkan KPM yang didakwa menghalang mana-mana wakil rakyat untuk bersama-sama dalam program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

"Saya juga mengambil maklum tentang isu dibangkitkan oleh setiap ahli Yang Berhormat dan kita akan jumpa pihak berkaitan bagi menyelaraskan perkara ini dengan baik agar ia dapat memberi manfaat buat anak-anak di sekolah,” katanya yang turut menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Zikri Afthar Ishak (PN-Tambun Tulang) berhubung perkara itu.

Sementara itu, Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) berkata, isu itu tidak seharusnya diperbesarkan kerana Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini telah menjelaskan bahawa KPM tidak menghalang mana-mana pihak termasuk ahli politik kerajaan atau pembangkang mengadakan lawatan atau diundang menyertai program yang dilaksanakan di kawasan sekolah.

"Saya sendiri pernah tidak dibenarkan masuk ke sekolah ... perkara ini tidak sepatutnya diungkit oleh ahli politik kerana KPM memberi layanan sama rata,” katanya kepada pemberita di luar sidang itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: