Ketika berkuasa ambil hak rakyat, saya kejar sampai kamu masuk penjara - Anwar

Anwar berucap pada Majlis Sentuhan Agro Madani Negeri Perak di Dataran Kerian Permai pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Sentuhan Agro Madani Negeri Perak di Dataran Kerian Permai pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PARIT BUNTAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memastikan mana-mana pihak yang terlibat dengan sebarang kes penyelewengan dana negara akan dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.

Katanya, beliau akan memastikan pihak berkuasa dapat menjalankan tugas penguatkuasaan dengan baik dalam memburu mereka yang terlibat.

Tegas Anwar, perkara itu diambil bukan atas dasar dendam sebaliknya beliau tidak dapat memaafkan tindakan pihak yang ‘mencuri’ wang rakyat di saat mereka sedang berdepan dengan situasi sukar.

“Hari-hari aibkan, fitnah dan malukan saya. Tekan isteri dan anak-anak saya, akan tetapi saya maafkan. Sebab apa? Sebab saya tak ada masa nak jaga cerita lama, saya cuma mahu jaga negara ini.

“Sebab itu, saya ingatkan kepada petani, pekebun, nelayan (dan semua rakyat) bahawa ini adalah soal wang negara. Hak rakyat ini tidak boleh digunakan untuk mengayakan mereka.

“Ketika kamu ada kuasa, kamu ambil tanah, balak, nadir bumi, curi saham, ambil kontrak, ambil hak rakyat, saya tidak maafkan. Dan saya akan kejar kamu, dan tangkap, dakwa dan masukkan (kamu) dalam penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Anwar turut menempelak tindakan pihak-pihak tertentu yang didakwa mahu mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan namun mengabaikan nasib rakyat sewaktu berkuasa sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Apabila berkuasa, jadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan menteri-menteri (mereka) kaya berlebih-lebihan. Namun apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tangkap, kata kita zalim.

“Sekarang ini pula, SPRM cari seorang menantu mantan perdana menteri yang lari ke luar negara. Bayangkan kamu ambil beratus-ratus juta, SPRM siasat panggil ke mahkamah, kamu lari dan pula, keluarga kamu ditonjolkan sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Walau tidak menyatakan secara jelas, namun kenyataan Anwar itu dipercayai merujuk kepada laporan SPRM yang sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Pada Isnin, media melaporkan SPRM dalam satu kenyataan berkata, dua individu yang dikesan itu ialah Muhammad Adlan Berhan, 48, serta Mansoor Saat, 69.

Muhammad Adlan adalah menantu kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut SPRM, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati kedua-dua penama berkenaan masing-masing telah meninggalkan Malaysia pada 17 dan 21 Mei lalu. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!