PRN: Calon Bersatu bertanding di enam negeri diterima baik

Muhyiddin ketika berucap semasa Ceramah Grand Finale PN di Kijal di sini pada malam Isnin.
Muhyiddin ketika berucap semasa Ceramah Grand Finale PN di Kijal di sini pada malam Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Calon Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang bertanding di enam buah negeri pada pilihan raya negeri (PRN) diterima baik rakan gabungan Perikatan Nasional (PN), Pas.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada awalnya terdapat sedikit pergeseran di sesetengah tempat namun perkara tersebut dapat diatasi.

"Saya menerima laporan bahawa sokongan Pas kepada Bersatu sangat baik malah calon kita berpuas hati dengan pengundi Pas.

"Jentera Pas juga memberi kerjasama yang baik dan mereka sangat membantu kita untuk turun ke akar umbi bertemu pengundi," katanya kepada pemberita selepas Ceramah Grand Finale PN di Kijal di sini pada malam Isnin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menasihatkan pengundi supaya menjalankan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada Sabtu ini.

"Kita mahu seramai mungkin pengundi keluar mengundi. Jangan ada yang kata tak payah undi, sebab sudah tentunya menang.

"Sifat itu tak baik sebab kita nak peratusan keluar mengundi lebih tinggi daripada pilihan raya sebelum ini," ujarnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah pengundi diingatkan supaya meneliti manifesto yang dijanjikan PN kerana ia merupakan janji yang dilaksanakan sekiranya diberi mandat nanti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rakyat juga perlu membuat penilaian mengenai prestasi kerajaan sekarang selain membuat keputusan yang tepat semasa mengundi nanti.

"Lihat apa kerajaan pusat dah buat. Di situ kita tengok ada kegagalan, kelemahan dan sebagainya.

"Jangan kita ulang lagi. Jika kita terpilih, ini masanya untuk kita betulkan balik," ujarnya.