Budak tiga tahun maut dirempuh ketika main skuter

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda di sebuah kawasan kediaman mewah di bandar raya ini, pada Jumaat.

Berdasarkan rakaman video yang tular, kanak-kanak berkenaan yang sedang bermain skuter tersebut dilihat berhenti di kawasan persimpangan, sebelum sebuah pacuan empat roda berwarna hitam terus merempuhnya.

Kanak-kanak tersebut dipercayai maut di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan pula dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan kemalangan berkenaan tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

"Pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang berusia 32 tahun sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi pemberita.

Beliau berkata, sekiranya disabitkan bersalah, pemandu berkenaan boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, dan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun.