Petunjuk sosioekonomi utama negeri-negeri bertambah baik

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Petunjuk sosioekonomi utama bagi negeri-negeri semakin bertambah baik pada 2022, dirangsang oleh peningkatan 248.1 peratus dalam perbelanjaan pelancongan domestik yang mencecah RM64.1 bilion berbanding RM18.4 bilion pada 2021, demikian menurut Laporan Sosioekonomi Negeri 2022, yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah pengunjung domestik meningkat sebanyak 160.1 peratus, mencecah rekod 171.6 juta pengunjung berbanding 66 juta tahun sebelumnya.

"Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 telah memberi impak besar kepada landskap sosioekonomi negara," katanya sambil menambah ia dicerminkan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang melonjak 8.7 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2021, menandakan prestasi terbaiknya sejak 2000.

Mohd Uzir berkata, penyambungan semula semua aktiviti ekonomi khususnya industri berkaitan pelancongan telah membantu mengukuhkan ekonomi negara.

"Kebenaran perjalanan rentas negeri dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan untuk menggiatkan semula industri pelancongan, yang terjejas sejak dua tahun sebelumnya, membantu mempromosikan pelancongan domestik negara," katanya.

Beliau berkata, Selangor menerima pengunjung paling ramai sebanyak 22 juta orang, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak dengan masing-masing menerima sebanyak 16.9 juta dan 15.5 juta pengunjung.

Bagi pelancong domestik, beliau berkata, ia meningkat sebanyak 337.1 peratus kepada 65.1 juta berbanding 14.9 juta pada 2021, dengan Pahang mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada 511.8 peratus dengan 7.8 juta ketibaan pelancong domestik daripada 1.3 juta pada 2021, yang seterusnya meningkatkan pertumbuhan KDNK Pahang dalam seni, hiburan dan perkhidmatan swasta lain kepada 96.7 peratus.

Menurutnya, prestasi ekonomi yang bertambah baik telah meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan ketara, dengan median pendapatan isi rumah bulanan meningkat daripada RM5,873 pada 2019 kepada RM6,338 pada 2022.

Pendapatan median tertinggi dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM10,234, diikuti Wilayah Persekutuan Putrajaya RM10,056 dan Selangor RM9,983, katanya.

Mohd Uzir berkata, peningkatan pendapatan juga mempengaruhi corak perbelanjaan isi rumah dengan isi rumah di Malaysia secara purata berbelanja sebanyak RM5,150 sebulan pada 2022 berbanding RM4,609 pada 2021.

Menurutnya, purata perbelanjaan isi rumah bulanan tertinggi dicatatkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu sebanyak RM8,897.

Perbelanjaan isi rumah lain yang merekodkan melebihi purata nasional ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada RM7,823, Selangor pada RM6,770, Melaka (RM5,707), Johor (RM5,342) dan Pulau Pinang (RM5,322).

Lonjakan pendapatan isi rumah telah meningkatkan kuasa beli pengguna yang seterusnya meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

"Ini merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga pengguna. Ini jelas apabila inflasi Malaysia meningkat kepada 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada 2021," katanya.

Ini didorong oleh peningkatan dalam perbelanjaan berkaitan kumpulan makanan dan minuman pada 5.8 peratus; restoran dan hotel pada lima peratus; pengangkutan pada 4.7 peratus dan kelengkapan rumah, peralatan dan penyelenggaraan pada 3.5 peratus.

Tiga negeri mengalami kadar inflasi melebihi kadar inflasi negara sebanyak 3.3 peratus, dengan yang tertinggi direkodkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 7.3 peratus, diikuti Selangor pada 4.2 peratus dan Johor pada 3.4 peratus

Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan kadar inflasi lebih rendah daripada purata nasional dan juga kadar inflasi terendah pada 2.4 peratus pada 2022.

Mohd Uzir berkata, pelbagai langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan telah mempercepat peralihan ekonomi negara daripada fasa pemulihan kepada penstabilan.

"Pemulihan ekonomi bukan sahaja diterjemahkan melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, ia juga dicerminkan menerusi peningkatan taraf hidup masyarakat dan kesejahteraan sosial,” katanya. - Bernama.