Ayer Hangat, Kuah dalam radar kemenangan baharu PH-BN

Saifuddin turun menyantuni peniaga bersama calon PH DUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris di Pasar Besar Alor Setar, pada Isnin.
Saifuddin turun menyantuni peniaga bersama calon PH DUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris di Pasar Besar Alor Setar, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Sokongan ditunjukkan rakyat Kedah kepada Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) selepas seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini menyaksikan gabungan tersebut berada pada landasan meraih keputusan baik pada 12 Ogos ini.

Perkara tersebut disuarakan oleh Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang optimis dengan perkembangan tersebut.

Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan Kuah di Langkawi dilihat bakal menyumbang kemenangan kepada 19 DUN yang disasarkan oleh mereka pada PRN Kedah.

Menurutnya, pada awalnya PH-BN turun sebagai gabungan 'underdog' di negeri ini, namun keyakinan untuk menang timbul selepas mendapat sokongan baik sepanjang kempen PRN.

"Selepas seminggu kempen dengan semua kerancakan jentera kempen, gerak kerja calon dan sebagainya, maklumat dalaman daripada bilik gerakan utama kami di peringkat negeri melaporkan dua DUN yang sebelum ni tak ada dalam radar kemenangan iaitu Ayer Hangat dan Kuah (Langkawi) menunjukkan semua indikator yang melegakan.

"Jadi saya fikir sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk ikut menjaga kempen dan mengetuai kempen di Kedah ini, minimum mesti 19 DUN baru lah kita boleh cakap tentang mengambil alih kerajaan," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni peniaga bersama calon PH DUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris di Pasar Besar Alor Setar, dekat sini.sa

Jelas Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka berada di Kedah pada Jumaat ini pada kempen 'grand finale' sebagai pecutan terakhir kempen PRN di Kedah.

Menurutnya, Anwar bersetuju untuk hadir membantu sebagai ikhtiar terakhir berkempen di negeri di bawah penguasaan PN.

"Semalam saya sempat menghubungi Perdana Menteri meminta supaya dia memasukkan jadual 'grand finale' di Kedah. Dia dah setuju 'grand finale' akan berlaku pada 11 Ogos ini.

"Perdana Menteri akan mula dengan sembahyang Jumaat. Kami akan susun di mana saya akan bincang nanti dengan Asmirul (calon PH Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris) dan pimpinan yang lain untuk kami susun jadual sehari dia 'grand finale'," ujar beliau lagi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!