Bela nasib mangsa penipuan saham, MHO akan bawa ke muka pengadilan

Hishamuddin (depan, empat dari kiri) bersama sekumpulan mangsa penipuan pelaburan saham di hadapan Ibu Pejabat JSJK di Kuala Lumpur pada Isnin.
Hishamuddin (depan, empat dari kiri) bersama sekumpulan mangsa penipuan pelaburan saham di hadapan Ibu Pejabat JSJK di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) akan mencari jalan penyelesaian kukuh buat ribuan mangsa penipuan pelaburan saham selepas tiada tindakan diambil terhadap syarikat-syarikat pelaburan tersebut sejak laporan polis dibuat pada Mac lalu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, langkah seterusnya yang akan diambil adalah merujuk semula kes penipuan pelaburan itu kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Beliau berkata, sekiranya pihak SC menyatakan kes penipuan pelaburan saham itu diklasifikasikan sebagai 'No Further Action' (NFA), MHO akan membawa kes tersebut ke muka pengadilan.

"Sekiranya rujukan semula kes ini kepada pihak SC menemukan jalan buntu, MHO akan membawa perkara ini kepada peringkat mahkamah.

"Kami mahukan kes ini mendapat semakan siasatan kehakiman iaitu sama ada ia telah disiasat mengikut undang-undang jenayah sedia ada atau sebaliknya oleh pihak berkuasa.

"Selain itu, MHO mahu kes ini disiasat di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 bagi membawa pihak syarikat yang membuat penipuan atau jenayah ke muka pengadilan," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Hishamuddin (tengah) menyerahkan penyata tambahan dan surat mohon status laporan polis kepada seorang pegawai JSJK di Kuala Lumpur pada Isnin.
Hishamuddin (tengah) menyerahkan penyata tambahan dan surat mohon status laporan polis kepada seorang pegawai JSJK di Kuala Lumpur pada Isnin.

Lebih 100 mangsa skim pelaburan yang ditawarkan beberapa syarikat terkemuka di negara ini hadir di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi menyerahkan penyata tambahan dan surat mohon status laporan polis berhubung kes penipuan tersebut.

MHO sebelum ini menerima lebih 500 aduan daripada mangsa penipuan pelaburan saham yang berkonsepkan produk Islamik sukuk serta menerbitkan saham kepentingan boleh tebus Islamik (RPS-i) dan bukan Islamik (RPS).

Hishamuddin berkata, pihaknya sebelum ini telah membuat laporan polis pada Mac lalu, namun ia dikategorikan sebagai 'Refer Other Agency' (ROA).

Susulan keputusan ROA itu, katanya, tindakan selanjutnya adalah membawa perkara tersbut kepada pihak SC dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Namun begitu menurutnya, tiada jawapan siasatan diterima oleh mangsa pelaburan setelah dipanggil membuat laporan di dua agensi tersebut.

"MHO tidak faham kenapa pihak penyiasat di agensi terlibat menyatakan tiada kesalahan jenayah, sedangkan ia jelas dan terang berlaku penipuan terhadap mangsa oleh pihak syarikat yang menguruskan saham pelaburan.

Seorang mangsa penipuan pelaburan saham menyerahkan penyata tambahan dan surat mohon status laporan polis kepada MHO bagi disampaikan kepada pihak JSJK.
Seorang mangsa penipuan pelaburan saham menyerahkan penyata tambahan dan surat mohon status laporan polis kepada MHO bagi disampaikan kepada pihak JSJK.

"Syarikat pelaburan didapati telah menebus saham yang diuruskan, namun mereka tidak membuat pembayaran kepada pelabur.

"Oleh sebab itu, MHO mahu pihak polis melakukan siasatan di bawah Seksyen 415 dan 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya pelabur dengan perniagaan tidak sah," ujarnya.