Junta Niger tutup ruang udara negara

Junta Niger mengumumkan bahawa ruang udara negara ini telah ditutup sehingga diberitahu kelak sebagai tindak balas terhadap kemungkinan campur tangan ketenteraan daripada ECOWAS.
Junta Niger mengumumkan bahawa ruang udara negara ini telah ditutup sehingga diberitahu kelak sebagai tindak balas terhadap kemungkinan campur tangan ketenteraan daripada ECOWAS.
A
A
A

DAKAR - Junta Niger pada Ahad mengumumkan bahawa ruang udara negara ini telah ditutup sehingga diberitahu kelak sebagai tindak balas terhadap kemungkinan campur tangan ketenteraan daripada Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), lapor Agensi Anadolu.

"Negara asing sedang bersiap sedia menyerang negara kita dengan kerjasama ECOWAS," kata jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Melindungi Negara, Kolonel Amadou Abdramane.

Beliau berkata, sebarang pelanggaran ruang udara akan berdepan tindak balas cepat dan kuat.

Abdramane mendakwa bahawa ECOWAS telah mengerahkan pasukan di dua negara Afrika Tengah sebagai sebahagian daripada persiapan campur tangan ketenteraan dan menekankan bahawa mana-mana negara yang campur tangan akan dianggap sebagai rakan subahat.

Beliau menyeru pemuda Niger untuk mempertahankan negara mereka.

Tempoh masa tujuh hari yang diberikan oleh ECOWAS kepada junta tentera untuk membebaskan Presiden Mohamed Bazoum dan membenarkannya kembali ke pejabat telah tamat sebelum tengah malam tadi waktu tempatan.

ECOWAS mengumumkan bahawa pihaknya mempertimbangkan semua pilihan, termasuk campur tangan ketenteraan, jika tuntutan itu tidak dipenuhi dalam tempoh masa ini.

Kemungkinan campur tangan ketenteraan telah mendapat reaksi kerajaan ketenteraan lain di Afrika Barat.

Burkina Faso dan Mali, memberi amaran kepada ECOWAS menerusi satu kenyataan bersama bahawa campur tangan ketenteraan di Niger akan dianggap sebagai tindakan perang terhadap mereka, manakala Guinea mengisytiharkan sokongannya terhadap junta.

Senegal, Ivory Coast, Benin, dan Nigeria menyatakan sokongan terhadap campur tangan ketenteraan ECOWAS.

Negara-negara serantau seperti Algeria, Libya, Chad, dan Mauritania mengumumkan bahawa mereka tidak menyokong operasi ketenteraan ECOWAS.

Sementara itu, Nigeria mengumumkan bahawa ia telah menutup semua sempadannya dengan Niger selepas rampasan kuasa dan peristiwa yang sedang berlaku di negara itu.

Timbalan Ketua Pengawal Perkhidmatan Kastam Nigeria (NCS) Bashir Adewale Adeniyi berkata keputusan ini selaras dengan arahan dari ECOWAS untuk menggantung pergerakan kargo sehingga diberitahu kelak.

Presiden Nigeria dan Pengerusi ECOWAS, Bola Ahmed Tinubu telah mengarahkan penutupan sempadan anggota ECOWAS dengan Niger.

Pada 26 Julai, kumpulan tentera yang digelar Majlis Kebangsaan bagi Melindungi Negara mengeluarkan kenyataan di televisyen sebaik sahaja menahan Presidennya Mohamed Bazoum, sambil mendakwa pasukan itu mengambil langkah berkenaan kerana "situasi keselamatan yang merosot dan pemerintahan yang teruk."

Bazoum dipilih pada 2021 menerusi peralihan kuasa demokratik pertama Niger sejak ia memperoleh kemerdekaan daripada Perancis pada 1960. - Bernama