Kerajaan Kelantan tidak teliti keluar arahan: Sayuti

Mohd Sayuti
Mohd Sayuti
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan negeri dilihat tidak teliti dalam mengeluarkan sesuatu arahan dan ia memberi kesan kepada masyarakat jika ia tidak dibaiki untuk masa akan datang.

Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar berkata, ia tidak lebih daripada memperlihatkan sebenarnya Kerajaan Kelantan banyak membuat keputusan sendiri tanpa memikirkan apa yang berlaku kepada masyarakat selepas itu.

“Arahan itu baik untuk hormati bulan Ramadan dan ia sepatutnya tidak menjadi masalah. Tetapi, sebaiknya sebelum keluar arahan bincang dahulu, ambil pendapat umum.

“Ambil apa yang pro dan kontranya bagi mengelak kejadian 'surung tarik' seperti apa yang berlaku ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai arahan kepada peniaga dan premis makanan untuk menutup operasi mereka sementara bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan untuk menunaikan solat terawih.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam memberitahu, sehingga kini tiada arahan rasmi dikeluarkan kepada peniaga dan menurutnya, saranan itu pada asalnya dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia belum sampai ke peringkat bawahan (peniaga).

ARTIKEL BERKAITAN Tak perlu tutup sementara, boleh berniaga seperti biasa

Sayuti berkata, walau apa sekalipun alasan yang diberikan, mereka bagaikan tidak mengetahui apakah prosedur yang perlu dilakukan sebelum dan selepas satu-satu arahan dikeluarkan.

Malah, beliau berkata, tindakan tersebut sebenarnya menjejaskan kewibawaan seseorang pemimpin mahupun kerajaan itu dan selepas ini rakyat boleh mempersendakan apa sahaja larangan dan arahan yang dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Kurang profesional, akhirnya akan jadi bahan ketawa. Niat baik tak tercapai bila pelaksanaan kita tidak bijak. Sepatutnya fikir dulu. Kalau betul surat itu untuk PBT dan Exco, kenapa ia mula diviralkan.

“Apa yang berlaku ini mengelirukan banyak pihak. Kita kesian pada rakyat, mereka jadi serba tidak kena. Bukan payah untuk mereka ikuti arahan itu. Tapi biar ia jelas dan terang. Berniaga tidak salah, solat lagi tidak salah. Yang salahnya ialah medium pelaksanaannya.

“Kenapa mula puasa baru surat keluar? Kenapa tidak dibuat sebelum puasa lagi supaya semua peniaga bersedia dan uruskan hal mereka dengan bijak. Arahan untuk kebaikan tidak salah. Tapi fikir dulu penerimaan rakyat jika berlakunya perkara seperti ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Tutup kedai ketika tarawih: Arahan wajib ditukar kepada galakan