HLB raih anugerah pertama kategori ESG

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal (tiga dari kiri) menerima Anugerah Kepimpinan ESG daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri).
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal (tiga dari kiri) menerima Anugerah Kepimpinan ESG daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri).
A
A
A

HONG Leong Bank Berhad (HLB) menerima pengiktirafan bank tahunan untuk Anugerah Kepimpinan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG) pada Anugerah Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, ini kali pertama HLB menerima anugerah di bawah kategori ESG.

Menurutnya, kejayaan itu adalah bukti kepada program yang dipacu untuk komuniti adalah bersifat inovatif dan memberi impak positif dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

“Sebagai sebuah bank yang mempunyai warisan akar umbi lebih 120 tahun di Malaysia, kami komited untuk terus melabur dalam komuniti sekeliling dengan membawakan program jangka panjang dengan impak mampan.

“Bukan itu sahaja, HLB juga mahu komuniti berkembang maju dan membangun termasuklah individu dan perniagaan mikro hingga kepada syarikat besar. Kesemua mereka harus dapat menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kevin berkata, pihaknya tidak akan mencapai kejayaan itu sekiranya tidak mempunyai pasukan yang sentiasa berusaha untuk memberi kebaikan kepada pihak lain.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal (kiri) bersama Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan CSR, Vivian Tan.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal (kiri) bersama Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan CSR, Vivian Tan.

Jelasnya, HLB merupakan sebuah bank berpaksikan komuniti yang mahu membina masa depan mampan untuk semua demografi.

Dalam pada itu, Kevin turut berkongsi tiga inisiatif khusus berimpak tinggi yang dilakukan oleh HLB bagi membina masa hadapan mampan.

Antara inisiatif tersebut adalah celik kewangan, rangkuman kewangan dan ekonomi rendah karbon.

“Dalam mempromosikan celik kewangan, pihak HLB menyasarkan untuk melahirkan generasi yang mempunyai asas pengetahuan kewangan yang kukuh di bawah platform CSR utama, HLB Duit Smart.

“Melalui inisiatif ini, bank akan mengadakan bengkel celik kewangan interaktif untuk pelajar dan masyarakat Orang Asli dan mendedahkan kandungan media sosial mengenai kesedaran penipuan," katanya.

Tambahnya lagi, menerusi rangkuman kewangan pula, HLB menyediakan perkhidmatan perbankan digital kepada bandar kecil melalui HLB @ Kampung.

"Ia bertujuan untuk mengubah komuniti itu menjadi ‘kampung tanpa tunai’ selain menyokong usahawan baharu serta perusahaan sosial dengan sumber juga bimbingan bagi memulakan perniagaan," katanya.

Kevin turut menjelaskan bagi ekonomi rendah karbon, pihak bank akan mengintegrasikan ESG dan amalan kemampanan ke dalam semua operasi serta perniagaan untuk mencapai pelepasan sifar karbon bersih menjelang 2050.