Penghantar makanan maut dilanggar lari, polis minta saksi tampil

Motosikal kejadian langgar lari yang menyebabkan penunggangnya maut di dalam longkang di KM12.2 Lebuhraya Elite dari arah Shah Alam ke Putrajaya pada awal pagi Ahad.
Motosikal kejadian langgar lari yang menyebabkan penunggangnya maut di dalam longkang di KM12.2 Lebuhraya Elite dari arah Shah Alam ke Putrajaya pada awal pagi Ahad.
A
A
A

SUBANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Polis meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut di Lebuhraya Elite awal pagi Ahad tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bahagian pusat kawalan ibu pejabat polis daerah (IPD) Subang Jaya menerima satu laporan kemalangan jalan raya jam 5.12 pagi.

Beliau berkata, lelaki berusia 29 tahun yang juga penghantar makanan maut akibat dilanggar dari arah belakang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kemalangan tersebut melibatkan penunggang motosikal jenis SYM 185cc di Kilometer 12.2 Lebuh Raya Elite dari arah Shah Alam ke Putrajaya.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal jenis SYM yang bergerak di lorong kiri disyaki telah dilanggar oleh kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti dari arah belakang.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal maut di lokasi kejadian," ujarnya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.