'Peace Road' simbolik lari daripada rasuah

Peace Road 2023 menerima lebih 400 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan agama. Gambar kecil: Sudesh, Hamdan
Peace Road 2023 menerima lebih 400 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan agama. Gambar kecil: Sudesh, Hamdan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena ulang tahun yang ke-10 Peace Road 2023, Rasuah Buster menjadi salah satu daripada 20 penganjur yang turut sama menjayakan acara larian sejauh tujuh kilometer itu.

Pengerusi Rasuah Buster Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel berkata, tujuan kerjasama itu diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya amalan rasuah.

“Tahun ini merupakan kali pertama Rasuah Buster bekerjasama dengan Peace Road Run, walaupun acara ini sebenarnya sudah diadakan selama sedekad, pihak kami berharap langkah yang diambil ini tidak terlalu lewat.

“Kami mengambil pendekatan untuk menjadi sebahagian daripada aktiviti ini kerana mahu menjadikan acara berkenaan sebagai simbolik masyarakat lari daripada rasuah,” katanya ketika ditemui di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Ahad.

Beliau berkata, walaupun kerjasama dalam acara itu dianggap kecil tetapi ia mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

Pada masa sama, Hamdan berkata, pihaknya bersedia untuk menjalinkan kerjasama sekali lagi pada masa yang akan datang bagi memperluaskan lagi pengaruh pertubuhan.

“Sebagai salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kami (Rasuah Busters) terpanggil untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap amalan salah laku ini.

“Saya difahamkan acara Peace Road ini turut diadakan di 160 bandar di seluruh dunia. Jadi menerusi kesempatan ini, saya berharap Rasuah Busters mampu melebarkan sayap ke negara luar, ujarnya.

Tegasnya, adalah penting NGO yang memainkan peranan dalam membanteras rasuah untuk memberi pendedahan awal di peringkat akar umbi bermula sekolah rendah, menengah dan universiti.

Sementara itu, Presiden Universal Peace Federation Malaysia, Sudesh G Balasubramaniam berkata, tujuan Peace Road diadakan adalah untuk mengukuhkan kesepaduan rakyat Malaysia.

“Kita mahu masyarakat daripada pelbagai bangsa, agama dan semua peringkat umur untuk turut bersama-sama menjayakan acara ini tanpa mengira warna kulit.

“Menariknya tentang aktiviti ini, ia turut disertai oleh 30 orang orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Tambah beliau lagi, Peace Road merupakan acara antarabangsa kerana ia diadakan secara serentak di 160 bandar di seluruh dunia.