Malaysia, Turkiye bakal jalin kerjasama tangani Islamofobia

Anwar melambaikan tangan kepada orang ramai pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Guar Perahu malam Sabtu. - Foto Bernama
Anwar melambaikan tangan kepada orang ramai pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Guar Perahu malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PERMATANG PAUH - Malaysia dan Turkiye bakal menjalin kerjasama untuk membentuk gerakan bagi menangani isu Islamofobia di peringkat antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan melalui perbualan telefon bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan petang Sabtu.

"Kita bincang mengenai Islamofobia. Erdogan dan saya bersetuju untuk mengepalai usaha ini. Erdogan kata boleh tak kita berdua bangkitkan gerakan dan buat sesuatu untuk lawan serangan terhadap Islam terutama di Amerika Syarikat serta Eropah.

"Saya kata silakan, saya setuju dan saya kata kita akan siapkan kertas (kerja) dan bincang dan dia kata dia berhajat untuk datang ke Malaysia secepat mungkin,” katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat bersama Perdana Menteri di Dataran Rakyat Guar Perahu di sini malam Sabtu.

Anwar juga berkata, Erdogan meminta beliau untuk bersama pemimpin berkenaan pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu September ini bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan bagi menghadapi isu Islamofobia itu.

Perdana Menteri berkata, Islamofobia merupakan sikap permusuhan terhadap Islam terutama di negara barat di mana Islam dibenci sehingga menimbulkan perbuatan seperti tindakan membakar al-Quran di Sweden.

"Pasal pembakaran al-Quran, saya kata saya keluarkan kenyataan sangat keras mengutuk pembakaran al-Quran dan saya terus keluarkan arahan penerbitan sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dan dalam bahasa Sweden,” katanya.

Menyentuh Pilihan Raya Negeri di Pulau Pinang pada 12 Ogos ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu meminta pengundi Parlimen Permatang Pauh untuk memberikan kemenangan bergaya kepada gabungan PH dan Barisan Nasional.

Perdana Menteri, yang mengakhiri lawatan kerja di Pulau Mutiara pada Sabtu berkata, pengundi di Parlimen itu perlu memberikan sokongan kepada calon dua gabungan parti politik gergasi tanah air itu di Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti yang berada bawah Parlimen Permatang Pauh.- Bernama