PRN: Calon PH tawar pemeriksaan kesihatan percuma kepada B40

Rajasekaran bertemu penduduk setempat ketika program jelajah mesra di pasar malam Dataran Segar Port Dickson pada Sabtu.
Rajasekaran bertemu penduduk setempat ketika program jelajah mesra di pasar malam Dataran Segar Port Dickson pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Hampir 30,000 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung bakal menikmati perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma sekiranya calon Pakatan Harapan (PH), Dr G Rajasekaran diberi mandat pada 12 Ogos ini.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Raja berkata, inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan terutama mereka dari golongan berpendapatan rendah (B40).

“Sebagai seorang doktor, saya boleh tawarkan pemeriksaan percuma kepada golongan B40 di klinik saya bertugas.

“Pemeriksaan tersebut boleh dilanjutkan bergantung kepada keadaan kesihatan pesakit, mungkin ada yang enam bulan hingga setahun. Kalau ada yang kena rawatan lanjut, ia boleh dipertimbangkan khusus kepada B40,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu Rajasekaran berazam untuk menyelesaikan masalah infrastruktur di kawasan pasar awam serta mempertingkatkan kebersihan di kawasan sekitar.

Ini kerana katanya, daerah Port Dickson merupakan tempat tumpuan pelancong dan peranan wakil rakyat perlu memastikan imej kawasan berkenaan terpelihara.

“Antara yang diutarakan oleh penduduk adalah isu kebersihan, longkang tersumbat serta parkir yang tidak mencukupi.

“Sekiranya saya diberi mandat, isu-isu ini akan diberi keutamaan untuk diselesaikan kadar segera demi keselesaan penduduk,” ujarnya.

Sementara itu beliau turut memaklumkan, penduduk setempat memberi maklum balas positif terhadap Kerajaan Perpaduan dan sedikit sebanyak boleh meyakinkan mereka mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.

“Mereka lihat sendiri bagaimana Perdana Menteri, Menteri Besar Negeri Sembilan mentadbir, kejayaan menu Rahmah yang mendapat sambutan hangat dan kedudukan ekonomi semakin baik.

“Mereka yakin dengan kepimpinan ini sekali gus memberi signal yang baik kepada kerajaan pimpinan PH-BN,” ujarnya.