Zii Jia lolos, beregu kandas di Australia

Zii Jia akan menentang pemain China dalam saingan separuh akhir Terbuka Australia di Sydney pada Sabtu. -Foto: Badminton Photo
Zii Jia akan menentang pemain China dalam saingan separuh akhir Terbuka Australia di Sydney pada Sabtu. -Foto: Badminton Photo
A
A
A

PEMAIN perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia boleh menarik nafas lega apabila menamatkan badi pusingan awal setelah menempah slot separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia pada Jumaat.

Kejayaan itu hadir selepas penghuni ranking ke-17 dunia itu menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong dalam saingan suku akhir di State Sports Centre di Sydney dalam tempoh 83 minit.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak datang dengan mudah apabila pemain berusia 25 tahun itu mendapat tentangan sengit daripada Tze Yong.

Dalam pertembungan itu Tze Yong terlebih dahulu merekod kemenangan 21-17 sebelum Zii Jia bangkit pada set kedua 26-24 untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Pertarungan pada set ketiga berlangsung sengit, namun pengalaman memihak Zii Jia untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya dengan mata 21-19.

Menanti Zii Jia dalam aksi separuh akhir pada Sabtu ialah pemain China yang juga naib juara Malaysia Masters 2023, Weng Hong Yang yang mengalahkan pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-10, 21-16.

Ini kali pertama Zii Jia berjaya melepasi halangan pusingan pertama sejak tersingkir daripada pusingan kedua Masters Malaysia Mei lalu.

Sejak itu, beliau tersingkir sebanyak empat kali seawal pusingan pertama berturut-turut di Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.

Pencapaian terbaik Zii Jia dalam Jelajah Dunia tahun ini ialah layak ke separuh akhir All England dan Terbuka Switzerland daripada 11 kejohanan yang beliau sertai.

Dalam pada itu, pemain beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur tewas kepada gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 15-21, 17-21.

Beregu Taiwan yang berada di ranking ke-15 dunia itu berjaya meleburkan rekod cemerlang Aaron-Wooi Yik yang sebelum ini sudah merekod empat kemenangan.