Isu 3R: Jangan menang sorak, kampung tergadai

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, sekali lagi mengingatkan semua pihak untuk berhati-hati dan tidak memainkan isu kaum, agama dan insititusi raja (3R), terutama di platform media sosial, sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, perkara ini penting kerana ia boleh menggugat perpaduan yang telah lama terjalin dan dipupuk sejak awal kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.

"Saya ingin memperingatkan, dalam semangat hari-hari lebih kurang seminggu sebelum hari mengundi pada 12 Ogos nanti, tolong hati-hati, jangan bermain isu 3R terutama dalam media sosial.

"... jangan menang sorak, kampung tergadai. Jangan sebab kita hendak menang PRN, maka kita gadaikan perpaduan yang telah lama kita pupuk sejak tahun awal kemerdekaan dan penubuhan Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya di sini pada Jumaat.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian PRN enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Ketika ditemui pemberita, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, setakat ini media sosial terutama TikTok, belum mempunyai sistem ‘social media listening tool’ yang boleh meneliti dan memantau kandungan tertentu, seperti 3R.

Justeru, beliau berkata pemantauan kandungan ketika ini lebih bersifat manual, bagi mencari ciri-ciri kandungan tertentu. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!