Penghuni flat TUTA terkejut lima rumah terbakar

Keadaan di salah sebuah unit rumah yang terbakar.
Keadaan di salah sebuah unit rumah yang terbakar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penghuni Blok 66, flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini, akui terkejut dengan kebakaran yang berlaku di tingkat empat blok berkenaan pada awal pagi Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kebakaran berkenaan mendapati lima unit rumah di tingkat berkenaan (Blok 66), musnah dalam kebakaran.

Mazlan.
Mazlan.

Menurut seorang penghuni, Mazlan anak Dlan (Alex), 30, ketika kebakaran dia berada di rumah setelah pulang dari kerja.

Katanya, dia mendengar bunyi riuh rendah di luar rumah dan apabila melihat ke luar, didapati api telah pun marak.

“Kebakaran ni saya rasa dalam pukul dua lebih..saya dengar orang bising-bising dan bila saya tengok keluar, tengok-tengok api dah besar (marak).

“Saya pun tak tahu nak cakap macam mana, saya terus keluar rumah dan ketuk pintu rumah orang lain mintak mereka pun keluar.

“Kemudian, saya dan seorang jiran telefon bomba untuk datang sebab api semakin besar di sebelah rumah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Wilson
Wilson

Seorang lagi penghuni, Wilson Ajin, 43, yang juga tinggal bersebelahan dengan empat unit rumah yang terbakar itu, ketika kejadian dia sedang tidur bersama isteri dan anaknya.

Bagaimanapun katanya, dia terjaga sekitar dua pagi, apabila suasana di luar unit rumahnya agak bising selain turut mendapati api mula marak berhampiran rumahnya.

Keadaan flat ketika terbakar. Foto Ihsan JBPM
Keadaan flat ketika terbakar. Foto Ihsan JBPM

“Semalam (Khamis) dalam pukul dua lebih saya terjaga bila dengar bunyi suara orang bising-bising di luar.

“Jiran-jiran sebelah pun ada yang ketuk pintu rumah saya panggil keluar dan saya tengok masa tu api dah marak, besar di tingkat ini, dekat dengan rumah saya.

“Saya juga rasa (bahang) panas api tu, tapi sempat juga saya, isteri dan anak keluar dari rumah,” katanya.

Marina.
Marina.

Sementara itu ADUN Skudai, Marina Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya telah memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak Datuk Bandar Iskandar Puteri dan juga pihak exco berkaitan.

Bagaimanapun katanya, perkara utama yang diberikan perhatian ketika ini adalah mengenai keadaan bumbung di kawasan kebakaran berkenaan yang dilihat boleh jatuh dan mengakibatkan kecederaan kepada orang ramai.

“Kita juga akan maklumkan perkara ini kepada pejabat parlimen (Iskandar Puteri) dan hubungi owner (penyewa), untuk kita hulurkan apa-apa bantuan buat masa ini,” katanya.