Rumah mampu milik bakal ada perpustakaan, pusat tuisyen

Raja Kamarul Bahrin Shah . - Foto Bernama
Raja Kamarul Bahrin Shah . - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua projek perumahan mampu milik yang akan dibina pada masa akan datang bakal dilengkapkan dengan kemudahan asas tambahan seperti perpustakaan mini dan pusat tuisyen, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Beliau berkata pendekatan baharu itu diambil bagi menyediakan infrastruktur yang lebih selesa dan lengkap, selain diharap dapat mengubah persepsi masyarakat yang berasakan kemudahan di perumahan mampu milik adalah berkualiti rendah.

"Bukan sahaja kemudahan asas seperti padang bola, pusat komuniti dan surau tetapi kemudahan lain yang boleh menyumbang ke arah pendidikan anak-anak yang kadangkala tertekan kerana ruang yang begitu sempit dan tidak mencukupi...jadi kerana itulah perpustakaan dan pusat tuisyen juga perlu disediakan.

"Kami percaya kalau kualiti hidup ditingkatkan, anak-anak tidak perlu keluar dari kawasan perumahan mereka pada sebelah malam untuk belajar berkumpulan misalnya, disebabkan risiko keselamatan sekali gus dapat mencapai tahap akademik dengan lebih baik", katanya kepada Bernama selepas program temu bual ‘The Nation’ terbitan Bernama News Channel, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata kerajaan tidak memerlukan peruntukan yang besar untuk membina perpustakaan mini dan pusat tuisyen di kawasan perumahan mampu milik seperti di bangunan flat memandangkan ia tidak memerlukan saiz yang besar.

"Selepas kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan, tanggungjawab seterusnya kami serahkan kepada badan pengurusan dan bersama penghuni, kami harap ia dijaga dengan baik...kalau tidak ada pengurusan yang baik dan rasa tanggungjawab, perpustakaan mungkin bertahan dua atau tiga bulan sahaja,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: