Peluang Arsenal lunas dendam

Arteta. - Foto Agensi
Arteta. - Foto Agensi
A
A
A

[DIKEMAS KINI] ARSENAL berpeluang untuk melunaskan dendam ke atas juara treble, Manchester City apabila akan membuat perhitungan dalam saingan Perisai Komuniti pada Ahad.

The Gunners yang dibimbing Mikel Arteta memasang impian mengubat duka dipintas The Citizens pada detik saat akhir perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Arsenal serius untuk meraih trofi pada musim baharu ini apabila berbelanja besar lebih 200 juta pound (RM1.157 bilion) untuk mendapatkan tiga pemain.

Pelaburan membeli pemain tengah England, Declan Rice; penyerang Jerman, Kai Havertz dan pertahanan Belanda, Jurrien Timber perlu berbaloi untuk memadam ego City yang meraih juara liga tiga kali berturut-turut.

Justeru, Arteta sedar aksi persahabatan glamour di Wembley hujung minggu ini memberi peluang buat The Gunners mempamerkan taring sebenar mereka.

“Sudah tentu. Selepas apa yang kami lakukan musim lalu, ramai orang bercakap mengenai apa bakal berlaku berikutnya.

“Di akhirnya, ia mengenai bermain lebih baik dan mempunyai hak untuk menang pada setiap perlawanan.

“Kami membawa masuk beberapa pemain penting, sama seperti pasukan lain, tetapi di Arsenal, anda perlu menanganinya,” ujar Arteta.

Arsenal menamatkan kancah EPL musim lalu dengan lima mata ketinggalan di belakang anak buah Pep Guardiola, sekali pun mendahului dengan lapan mata pada April.

City pasang impian besar

Dalam pada itu juara treble Manchester City optimis untuk meraih gelaran juara EPL buat kali keempat berturut-turut pada musim baharu ini yang dijadualkan bermula minggu depan.

The Citizens yang dibimbing Pep Guardiola masih menaruh kepercayaan dengan skuad yang dimiliki cuma membawa masuk pemain tengah, Mateo Kovacic dengan harga 25 juta pound (RM144.73 juta) dari Chelsea sebagai pengganti kepada Ilkay Gundogan.

Berbanding pesaing yang juga naib juara liga musim lalu, Arsenal berbelanja besar lebih 200 juta pound (RM1.157 bilion).

Pasukan di tempat ketiga, Manchester United pula mengeluarkan bajet 100 juta pound (RM578.91 juta) dan Chelsea turut melabur besar.

Bek tengah berbakat, Josko Gvardiol yang bertopeng ketika mewakili Croatia di Piala Dunia Qatar 2022 juga dilihat kian hampir menyertai mereka dari RB Leipzig.

Bagaimanapun, The Citizens secara keseluruhan kelihatan hampir sama seperti model musim lalu.

Langkah City kali ini berbeza berbanding musim lalu apabila mereka membuat pembelian hebat dengan menandatangani penyerang Norway, Erling Haaland pada harga 51 juta pound (RM295 juta).

Sekalipun Haaland menyumbang 52 gol dalam usaha merangkul treble musim lalu, Guardiola berkata, dia masih fikir City memiliki cara untuk mendapatkan hasil lebih baik daripada penyerang berusia 23 tahun itu.