Jaminan pendapatan untuk M40

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM - Kerjasama awam-swasta (PPP) mampu meningkatkan kekuatan dan memanfaatkan peluang yang ada dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa, kerajaan akan memainkan peranan dengan memudah cara manakala sektor swasta pula memacu pertumbuhan ekonomi, melabur dan menjana pekerjaan.

Dalam Belanjawan 2023, tiga strategi telah dirangka, merangkumi kerjasama dengan industri bagi pelaksanaan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), galakan pekerjaan dengan pendapatan setimpal serta dana sepadan untuk merancakkan sektor pelancongan.

Bagi menggalakkan pekerjaan dengan pendapatan setimpal, kerajaan akan terus meminta kerjasama sektor swasta supaya memberi gaji pekerja dengan nilai yang lebih tinggi.

Oleh itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) menyediakan peruntukan RM1 bilion untuk melaksanakan program latihan kemahiran kepada pekerja-pekerja bagi majikan yang berdaftar dan mempunyai levi terkumpul.

Peruntukan yang besar itu menunjukkan kerajaan serius dalam memastikan produktiviti golongan pekerja di negara ini terus dipertingkatkan dan kadar pengangguran dapat dikurangkan.

Usaha berterusan yang dilakukan kerajaan juga sudah mula menunjukkan kejayaan apabila kadar pengangguran negara terus berkurang pada Mei 2023 dengan merekodkan 584,600 orang dan berada pada kadar 3.5 peratus.

No Image Caption

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh Malaysia melaporkan, dari segi prestasi keseluruhan Mei 2023, pasaran buruh dilihat terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil.

Bilangan tenaga buruh pada bulan berkenaan terus mencatatkan trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.84 juta orang pada April 2023.

Kejayaan ini membuktikan kerjasama strategik yang berhasil dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan melalui inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi PERKESO, Talentcorp, HRD Corp dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Antara usaha yang dilaksanakan oleh KSM bersama agensi berkenaan adalah menyediakan portal pekerjaan MyFutureJobs untuk membantu pencari kerja mendapat peluang pekerjaan.

Portal www.myfuturejobs.gov.my merupakan sebuah platform secara maya dan terkini bagi membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran dan kompetensi, pengalaman, gaji dan lain- lain mengikut keperluan majikan.

Seramai 793,086 orang pencari kerja berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan sehingga April 2023.

HRD Corp bantu atasi masalah pengangguran

Kerajaan melalui HRD Corp telah menyediakan beberapa program peningkatan kemahiran untuk membantu mengatasi isu pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan. Seperti yang tertakluk di bawah Akta PSMB 2001, agensi itu diberikan mandat untuk mendaftar majikan yang layak, mengutip levi daripada majikan berdaftar dan seterusnya menggunakan levi tersebut untuk membiayai program peningkatan kemahiran pekerja berkenaan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Shahul Dawood berkata, HRD Corp ingin menjadi pemangkin dalam melahirkan 30 peratus tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran tinggi, selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

No Image Caption

Menurutnya, antara program yang ditawarkan untuk membantu mengatasi isu pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan adalah Future Workers Training (FWT) Scheme, Corp Placement Centre (HPC) dan e-LATiH.

Beliau mengakui, pihak industri lebih cenderung mengupah pekerja asing disebabkan faktor gaji kecil, kos tenaga kerja, kekurangan kemahiran pekerja tempatan dan fl eksibiliti.

Disebabkan itu, kerajaan dan agensi yang berkaitan termasuk HRD Corp memainkan peranan penting dalam menangani isu ini dengan meningkatkan kemahiran dan ketersediaan tenaga kerja tempatan serta melaksanakan dasardasar yang menggalakkan kesaksamaan upah dan perlindungan pekerja.

Jelasnya, bagi menyokong majikan dalam mencapai aspirasi ini, HRD Corp telah memperkenalkan program latihan yang relevan dan inovatif untuk menangani jurang kemahiran dan membina kepakaran dalam bidang yang diperlukan dengan memanfaatkan teknologi digital.

“HRD Corp terus komited untuk menggalakkan majikan melatih pekerja dalam program yang berteraskan inovasi untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan penciptaan industri baharu, menjana peluang pekerjaan dan menarik pelaburan," ujarnya.

Manfaat besar untuk M40

Sebagai salah satu golongan terbesar di alam pekerjaan di Malaysia, golongan M40 semestinya dapat memanfaatkan pelbagai program HRD Corp untuk pembangunan profesional dan kendiri masing-masing.

No Image Caption

Ia boleh dilakukan dengan beberapa cara, antaranya melalui program peningkatan kemahiran dan HRD Corp menyediakan program-program peningkatan kemahiran yang membantu semua rakyat Malaysia termasuk golongan M40.

“Program ini termasuk latihan dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat, keusahawanan, kemahiran kejuruteraan dan sebagainya. Melalui program ini, HRD Corp membantu meningkatkan daya saing dan peluang pekerjaan rakyat Malaysia di pasaran kerja yang semakin kompetitif.

“Melalui pembiayaan latihan pula, kami menyediakan sokongan kewangan dalam bentuk levi kepada semua majikan dan pekerja yang diliputi di bawah Akta PSMB 2001 untuk mengikuti programprogram latihan.

“Kami juga memantau pasaran kerja dan mengumpulkan maklumat tentang keperluan kemahiran serta pekerjaan yang sedang berkembang. Selain itu, menyediakan maklumat kerjaya dan panduan mengenai peluang pekerjaan serta perkembangan kerjaya kepada masyarakat,” katanya.

HRD Corp juga bekerjasama dengan industri dan majikan untuk membantu menyesuaikan keperluan pekerjaan dengan golongan yang mencari pekerjaan.

Industrial Skills Framework (IndSF) pula salah satu inisiatif yang dibangunkan sebagai panduan kepada individu, majikan dan penyedia latihan untuk mengenal pasti pengetahuan, pengalaman, penguasaan kemahiran, kelayakan serta peluang pembangunan kerjaya yang terdapat dalam setiap industri.

“Secara keseluruhan, HRD Corp aktif dalam menyokong pembangunan kemahiran dan peningkatan peluang pekerjaan untuk semua golongan termasuk M40 di Malaysia," tambahnya.

Layari belanjawan.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara mendapatkan bantuan daripada inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.

#Belanjawan 2023 #BelanjawanMADANI

PROGRAM PENINGKATAN KEMAHIRAN HRD CORP

• Future Workers Training (FWT) Scheme

• Corp Placement Centre (HPC)

• e-LATiH

MANFAAT KEPADA GOLONGAN M40

• Program Peningkatan Kemahiran

• Pembiayaan Latihan

• Pemantauan Pasaran Kerja

• Penyediaan Maklumat Kerjaya

• Kerjasama dengan Industri

• Industrial Skills Framework (IndSF)