PTPB: Formulasi baharu baja NAFAS tingkatkan hasil padi

Pengeluaran meningkat tujuh tan metrik/hektar berbanding 2.95 tan metrik sebelum ini

A
A
A

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Aimi Jusoh (tiga dari kiri) dan Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail (empat dari kiri) menunjukkan baja serta input pertanian lain sebagai penggalak tambahan bagi projek PTPB di Kampung Nam Dam, Pendang.
Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Aimi Jusoh (tiga dari kiri) dan Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail (empat dari kiri) menunjukkan baja serta input pertanian lain sebagai penggalak tambahan bagi projek PTPB di Kampung Nam Dam, Pendang.

PENDANG - Formulasi baharu baja yang diperkenalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memberi impak optimum dalam penghasilan padi menerusi Program Tanaman Padi Bersepadu (PTPB).

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Aimi Jusoh berkata, inisiatif ini menyokong hasrat kerajaan dalam merangka modul tanaman padi yang mampu meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) padi dan beras negara daripada 70 peratus kepada 75 peratus.

Menurutnya, ini kerana purata hasil pengumpulan penanaman PTPB semusim menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh tan metrik/hektar berbanding 2.95 tan metrik yang dihasilkan pada musim-musim sebelum ini.

“Melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), kita memperkenalkan baja sebatian formulasi baharu sebagai penggalak tambahan (booster) bagi meningkatkan hasil tanaman secara optimum.

“Projek diterajui NAFAS bersama syarikat subsidiari, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) dengan kerjasama pemain industri antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), diyakini dapat meningkatkan pendapatan pesawah,” kata Aimi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau projek PTPB yang merupakan projek perintis 68 pesawah ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubur Panjang seluas 70 hektar di Kampung Nam Dam pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail; Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Ismail Umar dan CEO MNFSB, Abd Halim Hamzah.

Aimi berkata, MNFSB merupakan kilang pengeluar baja sebatian untuk petani seluruh negara melalui skim baja subsidi kerajaan bagi memastikan petani mendapat baja terbaik untuk menjamin hasil tanaman.

“Pakej input NAFAS diperkenalkan dalam projek PTPB, iaitu bahan perapi tanah Silgrow Plus, baja sebatian formulasi baharu dan baja penggalak tambahan Ultra K.

“Kehadiran elemen mineral organik dan unsur surih ini berdasarkan cadangan MARDI dan nilai tambah dalam formulasi khas baja sebatian dalam projek ini,” jelasnya.

Para pesawah yang terlibat dalam projek PTPB di Kampung Nam Dam turut hadir ketika lawatan di tapak sawah.
Para pesawah yang terlibat dalam projek PTPB di Kampung Nam Dam turut hadir ketika lawatan di tapak sawah.

Sementara itu, Azman berkata, MARDI komited menjalin kerjasama strategik bersama NAFAS dalam usaha penambahbaikan formula baja baharu melalui ujian dan R&D selain berusaha memberikan input terbaik kepada pesawah terutama baja dan benih padi.

“MARDI dan NAFAS, institusi yang menjadi antara tulang belakang sektor pertanian pastinya bersedia melaksanakan perubahan mengharungi cabaran agar industri pertanian terus proaktif, seiring perkembangan teknologi,”katanya.

Menurutnya, sekiranya pencapaian projek ini diterapkan ke kawasan tanaman padi lain di seluruh negeri, ia dapat membantu negara mengatasi masalah sekuriti makanan atau keterjamin makanan.

“Kita perlu meningkatkan produktiviti di semua kawasan sawah dan juga meningkatkan hasil di kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai kurang berhasil atas faktor tanah,” jelasnya.

Azman berkata, inovasi baja dan benih padi juga diperlukan dalam memastikan hasrat kerajaan menjayakan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dapat dilaksanakan.

“Ia melibatkan proses yang besar merangkumi inovasi baja, menyuburkan tanah dan infrastruktur. Ia juga harus disokong oleh varian baharu benih padi serta pengairan agar hasrat ini dijayakan sebaiknya,” jelasnya.