Tular rakaman anggota trafik kejar kereta Singapura video lama

Tangkap layar menunjukkan seorang anggota polis trafik cuba menghalang sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura daripada meneruskan perjalanan di BSI, Johor Bahru.
Tangkap layar menunjukkan seorang anggota polis trafik cuba menghalang sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura daripada meneruskan perjalanan di BSI, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan video tular yang memaparkan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura enggan memberhentikan kenderaan ketika diminta berbuat demikian oleh anggota polis trafik, adalah video lama.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dalam video tersebut dilaporkan berlaku pada 23 September tahun lalu.

"Video itu memaparkan seorang anggota polis trafik cuba memberhentikan sebuah kereta jenis Honda Civic yang enggan berhenti selepas dikesan melakukan kesalahan trafik iaitu memotong barisan.

"Kereta itu memotong barisan di laluan lori untuk masuk ke Singapura dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam video berdurasi satu minit 17 saat itu memaparkan anggota polis trafik berkenaan berusaha meminta pemandu kereta menurunkan tingkap, namun pemandu terbabit enggan dan meneruskan perjalanan secara perlahan berikutan keadaan trafik yang sesak.

Raub berkata, sehingga kini pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan masih mengesan pemilik kereta tersebut dan kenderaan itu telah disenaraihitamkan.

"Pihak polis menasihatkan agar orang ramai berhati-hati dalam membuat komen dalam media sosial, yang boleh menimbulkan spekulasi dan andaian negatif," katanya.