Peja lapor polis dituduh buat gangguan seksual

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat laporan polis mengenai dakwaan dirinya membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita baru-baru ini.

Ahmad Faizal berkata, tuduhan yang terkandung dalam laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Saya dimaklumkan bahawa laporan tersebut mengaitkan nama saya dan beberapa tuduhan yang dibuat oleh individu tersebut terhadap saya.

"Tuduhan-tuduhan ini adalah tidak benar sama sekali dan saya percaya ada elemen hasutan jenayah dan fitnah terbabit dalam laporan ini," katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan itu berkata, dirinya tidak berada di lokasi kejadian sebagaimana yang terkandung dalam laporan tersebut.

Jelasnya, laporan tersebut menyebut masa, tarikh dan lokasi tentang 'interaksi' tertentu dan beliau memaklumkan waktu itu beliau berada di Negeri Sembilan.

"Ramai saksi boleh mengesahkan kehadiran saya di Negeri Sembilan yang mana ketika itu saya menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai Timbalan Presiden Bersatu," katanya.

Menurut Ahmad Faizal, beliau meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap perkara itu.

"Saya juga berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat," ujarnya.

Tegas Ahmad Faizal, tempoh berkempen ini seharusnya dimanfaatkan untuk kepentingan negara dan hanya berbicara tentang politik dan polisi yang boleh memajukan negara.

"Serangan berbentuk peribadi ini tidak memberikan sebarang manfaat dan hanya membazirkan masa dan sumber pihak berkuasa," katanya.

Pada Khamis, tular satu laporan polis di media sosial yang didakwa dibuat seorang wanita mengaitkan Timbalan Presiden Bersatu itu.

Menerusi laporan polis tersebut, wanita terbabit mendakwa Ahmad Faizal mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadap dirinya.