Syed Saddiq jemput Adam Adli, Ahmad Fadhli debat secara terbuka

Gambar dari kiri: Syed Saddiq, Adam Adli, Ahmad Fadhli
Gambar dari kiri: Syed Saddiq, Adam Adli, Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjemput Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari untuk berdebat secara terbuka mengenai cabaran yang dihadapi oleh belia pada masa kini.

Menurut kenyataan Muda pada Khamis, debat terbuka itu diadakan bagi memberi peluang untuk menyampaikan polisi dan inisiatif parti masing-masing.

"Peserta akan dinilai oleh orang ramai berdasarkan kejelasan dan keberkesanan solusi yang mereka cadangkan.

"Perbincangan ini akan disiarkan secara langsung di pelbagai platform digital, membolehkan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat menyaksikan perbincangan idea dan pandangan secara langsung.

"Syed Saddiq juga percaya bahawa debat ini akan menjadi tonggak ke arah pendekatan yang lebih bersatu dan progresif dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh generasi muda di Malaysia," kata Muda.

Tambah Muda, dengan mengadakan dialog terbuka, negara sekali gus dapat memupuk usaha yang kolektif dalam membentuk masa depan lebih baik bagi generasi akan datang.

Ujarnya, dalam usaha mencapai negara yang progresif, Muda percaya bahawa debat yang sihat dapat mendorong perubahan yang positif.

"Selain menghadapi cabaran yang semakin kompleks, maka adalah penting bagi kita untuk terlibat dalam perbincangan terbuka dalam mencari penyelesaian inovatif yang akan membentuk masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia.

"Syed Saddiq turut bersetuju dengan pendapat Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan kepentingan perbincangan terbuka.

"Bekas Menteri Sukan dan Belia itu komited untuk mengadakan platform di mana pemimpin dapat menyampaikan wawasan dan impian bagi masa depan belia negara dengan cara yang inklusif," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!