PRN: Selesaikan segera masalah bas awam di Terengganu

Luqman (tengah) ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Muda DUN Bandar, Kuala Terengganu pada Khamis.
Luqman (tengah) ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Muda DUN Bandar, Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahu masalah pengangkutan bas awam di Terengganu dapat diatasi segera dan turut mendapat perhatian daripada Kementerian Pengangkutan berhubung perkara berkenaan.

Luqman Long yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar berkata, pengangkutan bas di negeri ini mempunyai beberapa kelemahan antaranya trip perjalanan sangat terhad selain jumlah bas yang sedikit.

"Jadual perjalanan bas di sekitar Kuala Terengganu hanya empat kali trip sahaja iaitu bermula jam 9 pagi dan kemudian perlu menunggu lagi dua jam sekiranya terlepas bas. Trip terakhir pula pada jam 2.45 petang di mana bas dijangka masuk ke terminal pada 4.30 petang.

"Jadi apabila sudah habis waktu bekerja pada 5 petang, bas pun dah tak ada. Ini bermaksud pembinaan operasi pengangkutan bas awam di Terengganu tidak dibuat untuk bantu pekerja yang menggunakan perkhidmatan bas.

"Saya berpendapat jumlah bas sangat sedikit menyebabkan trip perjalanan bas menjadi terhad," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Muda DUN Bandar di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Muda berkata, masalah pengangkutan bas itu bukan sahaja tidak memenuhi keperluan pekerja yang bekerja di Terengganu tetapi ia juga tidak boleh memenuhi keperluan industri pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, sebagai contoh kawasan DUN Bandar mempunyai tempat 'hotspot' pelancongan yang menjadi tumpuan antaranya Pasar Payang, kawasan berdekatan Muzium Negeri Terengganu dan Masjid Kristal, namun apabila kekerapan perjalanan bas awam terhad sudah tentu gagal memenuhi keperluan pelancong datang ke kawasan berkenaan.

"Saya percaya kelemahan pengangkutan bas awam ini akan menyebabkan kesukaran kita untuk promosikan Terengganu sebagai kawasan pelancongan," ujarnya.

Dalam pada itu, Luqman berkata, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada 2026 akan menarik jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini bertambah.

"Bagaimanapun, apabila pelancong sampai stesen bas di Terengganu tapi tak ada banyak bas awam disediakan untuk memudahkan mereka bergerak ke satu tempat ke satu tempat pelancongan lain.

"Jadi perkara ini perlu disediakan segera dan tak boleh tunggu sampai 2026 baru nak buat," ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!