MyFutureJobs: Graduan rebut peluang kerja di temu duga terbuka

Graduan mengambil peluang untuk mendapatkan pekerjaan menerusi temu duga terbuka yang dijalankan di Dewan Sri Mahkota, Polisas, Kuantan pada Khamis. Gambar kecil: Nurain, Nureen Emily, Wan Nuraini
Graduan mengambil peluang untuk mendapatkan pekerjaan menerusi temu duga terbuka yang dijalankan di Dewan Sri Mahkota, Polisas, Kuantan pada Khamis. Gambar kecil: Nurain, Nureen Emily, Wan Nuraini
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Graduan di negeri ini menyifatkan sesi temu duga terbuka melalui Karnival Kerjaya MyFutureJobs adalah satu penganjuran yang memudahkan mereka mencari peluang pekerjaan.

Graduan Diploma Akauntansi Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Wan Nuraini Wan Yakob, 24, mengakui mengambil peluang terbabit dengan menghadiri temu duga terbuka yang disifatkan sangat membantu graduan sepertinya.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya menghantar permohonan berdasarkan iklan pekerjaan yang ditawarkan di portal pekerjaan.

"Saya dapat maklumat mengenai program ini melalui pihak Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan ini merupakan kali pertama saya hadir ke temu duga terbuka.

"Program sebegini sangat membantu kerana dapat terus berjumpa secara bersemuka dengan wakil-wakil majikan dan mereka juga dapat melihat keadaan diri saya yang OKU (orang kurang upaya ) sejak lahir," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Seramai 176 graduan Polisas dan belia setempat telah menghadiri sesi temu duga terbuka sempena Karnival Kerjaya MyFutureJobs anjuran Polisas dengan Perkeso Pahang di Dewan Sri Mahkota, Polisas disini.

Terdapat 14 majikan dan pihak industri yang terlibat antaranya Hicom Automotive Manufacturers (M) Sdn Bhd, China Communication Construction (ECRL) Sdn Bhd, GlobalLab Engineering Sdn Bhd, Camel Power (M) Sdn Bhd, Wasco Coatings Malaysia Sdn Bhd, Suria Resorts Management Sdn Bhd dan Swang Chai Chuan Sdn Bhd.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Polisas, Azad Muslim Muhammad meninjau perjalanan sesi temu duga yang diadakan di Dewan Sri Mahkota, Polisas di Kuantan pada Khamis.
Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Polisas, Azad Muslim Muhammad meninjau perjalanan sesi temu duga yang diadakan di Dewan Sri Mahkota, Polisas di Kuantan pada Khamis.

Seterusnya, Ramly Food Processing Sdn Bhd, MSM BIZZ Sdn Bhd, Solaris Group, Public Mutual Berhad, SK Magic Retail Malaysia Sdn Bhd (SK Vision Group), One Stop Home Care Centre dan Nadi Insan Sdn Bhd.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang psikologi dari INTI International College Subang, Nurain Mohd Saperi, 26, berkata, program sebegini memberi harapan kepada graduan yang sedang mencari peluang pekerjaan.

Ujarnya, mendapat kerja selepas habis belajar adalah satu perkara yang menjadi keutamaan kepada para graduan.

"Bila saya terbaca maklumat ini dalam media sosial Facebook, saya ambil peluang untuk datang ke temu duga terbuka ini.

"Saya harap ada peluang yang baik untuk saya pada hari ini," katanya ringkas.

Sementara itu, seorang lagi calon temu duga terbuka, Nureen Emily Muhd Khairul Azmi, 21, yang juga graduan Diploma Sistem Maklumat Perniagaan Polisas berkata, ini merupakan kali pertama beliau menghadiri temu duga terbuka itu.

Jelasnya, karnival kerjaya ini bagus kerana mengumpulkan para majikan dalam satu tempat.

"Ini memudahkan calon untuk menjalani temu duga dengan beberapa pilihan majikan yang menawarkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang dipelajari," katanya.