Black sokong kempen calon BN di Sungai Air Tawar

Black (lima dari kiri) dan Rizam (enam dari kanan) bersama pasukan bola sepak di Kampung Dato' Hormat, Sungai Air Tawar pada Rabu.
Black (lima dari kiri) dan Rizam (enam dari kanan) bersama pasukan bola sepak di Kampung Dato' Hormat, Sungai Air Tawar pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penyanyi popular, Black Hanifah turun padang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 35, berkata, niatnya menyantuni penduduk bukan atas dasar politik, namun nilai persahabatan dengan Rizam yang dikenalinya sejak sekian lama.

Menurutnya, peluang itu juga digunakan untuk menemui peminatnya di DUN berkenaan terutama generasi muda.

"Misalnya, hari ini saya menyertai perlawanan persahabatan bersama penduduk dan dalam masa sama membantu Rizam yang sedang berkempen ketika ini," katanya ditemui di Kampung Dato' Hormat, Sungai Air Tawar pada petang Rabu.

Black memberitahu, meskipun sumbangannya tidak besar, namun berharap ia memberi impak kepada anak muda membuat pilihan secara terbuka dan melunaskan tanggungjawab mengundi nanti

Ditanya kesediaan beliau menyertai politik sama seperti beberapa selebriti lain, Black memberitahu, setakat ini belum bercadang menyertai politik, namun lebih kepada menyokong kempen BN.

"Saya sememangnya memilih BN sejak sekian lama kerana bapa juga seorang bekas Ketua Pemuda UMNO sekitar 90-an dan ini keputusan saya tanpa desakan mana-mana pihak.

"Saya yakin dengan BN dan pentadbirannya selama ini selain faktor Rizam yang amat membantu rakyat di DUN ini," ujarnya.